Mahkamah khas rasuah ditubuh tumpu kes rasuah

Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri). -Foto Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (kanan) dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed (kiri). -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah khas rasuah dicadang untuk ditubuhkan bagi memastikan kes-kes rasuah diberi masa dan penekanan oleh mahkamah yang tertumpu untuk kes tersebut, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat hari ini memutuskan cadangan penubuhan mahkamah khas itu berikutan perbicaraan kes-kes rasuah dianggap sebagai perbicaraan biasa tanpa diberi sebarang keutamaan.

"Sudah tentu kami tidak campurtangan dalam proses mahkamah tetapi perkara ini sangat serius dan orang bertanya mana hukuman terhadap jenayah yang dilakukan oleh individu-individu tertentu.

"Kita mahukan sebuah mahkamah yang boleh memulakan pendengaran kes dengan secepat mungkin," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JKKMAR di Perdana Putra, di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, penubuhan mahkamah khas itu memerlukan beberapa undang-undang digubal kerana ia dikatakan akan merubah sifat biasa mahkamah.

Perdana Menteri berkata mahkamah khas itu tidak akan menjejaskan mahkamah biasa, bagaimanapun JKKMAR masih sedang memperhalusi cadangan itu kerana pada masa ini terdapat tiga lapisan mahkamah.

"Jadi sekiranya kita memperkenalkan mahkamah khas untuk rasuah, rayuan tetap akan dikemukakan ke Mahkamah Rayuan dan kemudiannya ke Mahkamah Persekutuan.

"Ini bermakna kes-kes rasuah mungkin tidak akan mendapat perhatian mahkamah biasa," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir berkata hakim-hakim untuk mahkamah khas itu mestilah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, manakala kuasa mendakwa datang daripada Peguam Negara.

Perdana Menteri berkata mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa lagu Malaysia Bersih akan dinyanyikan dalam acara-acara kerajaan selepas nyanyian Lagu Negaraku.

"Kita ingin semai ke dalam hati semua anggota kerajaan akan pentingnya kita bersihkan negara kita ini daripada rasuah supaya kita tidak lagi dikenali sebagai (negara) kleptokrasi dan kembali menjadi demokrasi," katanya.

Ditanya sama ada JKKMAR ada membincangkan kes yang melibatkan 14 orang termasuk tujuh penjawat awam yang didakwa melindungi dan menerima wang perlindungan daripada para pengusaha sebuah pusat refleksologi, Dr Mahathir berkata ia tidak dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun jawatankuasa itu tahu mengenai kes itu.

"Kami akan minta pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat," kata beliau.

Awal hari ini, seramai 14 orang ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM mengenai dakwaan melindungi dan menerima wang perlindungan daripada para pengusaha pusat refleksologi, yang turut dijadikan rumah pelacuran. - Bernama