Sila log masuk terlebih dahulu.

VTL Malaysia-Thailand langkah baharu pulih industri pelancongan

Ismail Sabri (kanan) dan Abang Johari menghadiri pelancaran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching malam Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) dan Abang Johari menghadiri pelancaran Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching malam Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kerajaan bercadang mengadakan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) dengan Thailand sebagai langkah terbaharu memulihkan industri pelancongan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu dibuat hasil lawatannya ke negara gajah putih yang berakhir pada Sabtu sekali gus dapat merancakkan kembali perkembangan sektor ekonomi negara selepas dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas.

"Singapura, Indonesia dan Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL ini," katanya semasa berucap pada pelancaran program Citrawarna Keluarga Malaysia di sini, pada malam Sabtu oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Ismail Sabri berkata VTL antara Malaysia dan Brunei dipersetujui hasil perbincangan beliau dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungannya ke negara itu baru-baru ini.

"Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi juga merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei," katanya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan untuk mengaktifkan semula sektor pelancongan negara telah bermula daripada pelaksanaan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) pada November 2021.

"Inisiatif ini merupakan ujian rintis ke atas kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi kerajaan yang berkenaan terhadap norma baharu," katanya.

Ismail Sabri berkata walaupun baru tiga bulan, projek itu telah menjana pendapatan lebih RM28 juta selepas berjaya menarik 5,686 pelancong asing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata sejak diperkenal, tiada sebarang kluster jangkitan yang berpunca daripada pelancong LITB.

"Maklum balas baik yang diterima daripada pihak yang terlibat dalam pelaksanaan LITB memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif LITB sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak," katanya.

Ismail Sabri berkata dalam Bajet 2022, kerajaan turut mengumumkan bantuan khas RM85 juta kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan bayaran dibuat pada bulan Mac dan Mei ini.

Beliau berkata 10,000 pemandu pelancong (yang akan menerima RM1,500 seorang), 5,592 agensi pelancongan (RM9,000 setiap agensi) dan 3,100 pengusaha inap desa yang berdaftar dengan MOTAC (RM1,800 seorang) adalah antara yang bakal menerima manfaat bantuan ini.

"Diharap dengan semua inisiatif dan langkah yang dilakukan kerajaan ini mampu merancakkan kembali sektor pelancongan serta melonjakkan semula nama Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan global," katanya. - Bernama