Penyelesaian isu Myanmar tidak terletak pada negara ASEAN: PM

Ismail Sabri (tengah) ketika menjawab soalan pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini pada Sabtu.
Ismail Sabri (tengah) ketika menjawab soalan pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini pada Sabtu.
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan penyelesaian isu Myanmar bukan terletak di tangan negara-negara ASEAN sebaliknya negara itu harus bertekad mencari jalan penyelesaian terhadap isu dalamannya sendiri.

Beliau berkata isu di Myanmar perlu diselesaikan secara baik dan komprehensif untuk menjaga kepentingan rakyatnya.

Sehubungan itu, beliau berharap "Five-Point Consensus” yang telah dipersetujui pemimpin ASEAN pada April tahun lepas dapat dilaksanakan segera.

"Kalau Myanmar tidak inginkan kedamaian berlaku di negara mereka, maka, tiada apa-apa yang konkrit boleh dilakukan oleh negara ASEAN.

"ASEAN mempunyai prinsip iaitu negara luar tidak boleh campur tangan sepenuhnya di negara lain. Maka, adalah penting Myanmar mempunyai semangat untuk menyelesaikan isu yang berlaku di negara mereka,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia sini hari ini pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Thailand.

Dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha, Ismail Sabri berkata kedua-dua perdana menteri turut mengadakan perbincangan mengenai isu Myanmar.

Berhubung pelarian Rohingya, Ismail Sabri berkata ia merupakan isu serantau dan dunia yang perlu ditanggung dan diselesaikan bersama.

Beliau berkata kemasukan pelarian Rohingya telah memberi kesan langsung kepada negara penerima termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia paling terkesan akibat kemasukan pelarian Rohingya. Setakat ini lebih 200,000 pelarian Rohingya di Malaysia.

"Saya telah memaklumkan bahawa bebanan ini tidak boleh terletak pada satu-satu negara seperti Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata isu pelarian Rohingya boleh diselesaikan sekiranya Myanmar menyelesaikan isu etnik itu di negara berkenaan. - Bernama