Sungai Kim Kim selamat, bebas pencemaran

Bee Yin menunjukkan sifar pada alat pengukur ketika mengadakan lawatana di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang. Foto: Raja Jaafar Ali
Bee Yin menunjukkan sifar pada alat pengukur ketika mengadakan lawatana di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang. Foto: Raja Jaafar Ali
A
A
A

PASIR GUDANG - Jajaran sejauh 1.5 kilometer Sungai Kim Kim di sini, yang terjejas akibat sisa kimia kini disahkan selamat dan bebas pencemaran.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, ia berpandukan ukuran kualiti udara melalui bacaan partikel per juta (PPM) yang diambil sejak operasi pembersihan dimulakan.

Bagaimanapun, menurutnya tempoh pemantauan minima selama 15 hari lagi bermula hari ini akan dikekalkan bagi memastikan kualiti udara di kawasan itu dijamin selamat.

“Setelah beberapa hari pemantauan dan pada 17 Mac kerja pembersihan dan pembersihan mikro sudah selesai, hari ini kita yakin bahawa kualiti udara di sini iaitu kawasan paling teruk terjejas telah selamat.

“Kita juga turun ke lokasi ini tanpa sebarang perlindungan dan penutup muka, untuk menunjukkan keyakinan kepada rakyat bahawa kawasan ini sudah selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi utama pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Saintifik, Prof Dr Abdul Rahim Mohd Yusoff dan Pengarah Teknikal 5E Resources Sdn Bhd, N Shankar.

Bee Yin berkata, sebanyak 900 tan metrik bahan tercemar dibawa keluar daripada sungai terbabit ketika kerja pembersihan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua 900 tan metrik ini bukan semata-mata sisa toksik tetapi ia adalah tanah yang bercampur dengan bahan tercemar.

“Bahan-bahan ini juga dikumpulkan dan disimpan (seal) secara selamat, jadi penduduk tidak perlu risau dengan keadaan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Shankar berkata, proses membawa keluar bahan-bahan tercemar itu akan mengambil masa tetapi berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Sekarang ini, kerja-kerja pemindahan bahan ini sedang dibuat, ia ambil masa sedikit sebab kita tengok keadaan laluan, ada jalan sempit lori kita susah masuk.

“Selain itu, kita juga lalu kawasan kampung, jadi kita mahu proses pemindahan ini dilakukan dengan cermat dan sistematik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: JAS sahkan kualiti udara di sekitar Sungai Kim Kim stabil