Amerika Syarikat sekat Putin, Lavrov dan beberapa pegawai kanan

Gambar fail AFP
Gambar fail AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengenakan sekatan ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin; Menteri Luar Sergey Lavrov dan pegawai kanan lain berikutan operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.

Rumah Putih sebelum ini memaklumkan Washington akan menyertai Kesatuan Eropah (EU) untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin dan diplomat kanan serta anggota pasukan keselamatan Rusia.

"Presiden Putin dan Menteri Lavrov bertanggungjawab secara langsung terhadap tindakan yang menyalahi undang-undang itu, satu operasi ketenteraan tanpa provokasi ke atas Ukraine, sebuah negara berdaulat demokratik," lapor Agensi Anadolu memetik Jabatan Perbendaharaan.

Seramai 11 anggota pasukan keselamatan Rusia dikenakan sekatan termasuk Pengarah Perkhidmatan Perisikan Asing, Sergei Naryshkin.

"Kami bersatu dengan sekutu dan rakan kongsi antarabangsa kami untuk memastikan Rusia menanggung kerugian ekonomi dan diplomatik akibat tindakan itu.

"Jika perlu, kami bersedia untuk mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Rusia," kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen.

Operasi ketenteraan di Ukraine memasuki hari ketiga pada Sabtu dengan laporan terbaharu menyatakan tentera Rusia sedang bergerak ke Kiev.

Putin mengumumkan oeprasi ketenteraan itu pada Khamis, beberapa hari selepas mengiktiraf dua wilayah di timur Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa Moscow tidak berhasrat untuk menduduki negara jiran itu sebaliknya mahu 'menjadikan kawasan itu bebas tentera' dan 'denasify' Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh Rusia cuba mewujudkan kerajaan boneka dan berkata rakyat Ukraine akan mempertahankan negara mereka. - Bernama