Rimbunan Kaseh perlukan model pembangunan baharu

Adly ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
Adly ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Taman Rimbunan Kaseh di Serkam yang menempatkan asnaf akan terus diberikan perhatian supaya pengurusan di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kekal relevan untuk membantu golongan itu.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, langkah dilakukan termasuk mengenal pasti serta mempertimbangkan model perancangan baharu seperti aktiviti pemprosesan makanan daripada hasil pertanian yang mampu berubah daripada bidang pertanian kepada perindustrian.

"Bagaimanapun, perancangan baru itu belum lagi diputuskan dan kita sedia menerima sebarang pendapat serta tawaran lain daripada pihak swasta bagi memastikan projek beroperasi semula dengan penjenamaan baharu dan mengekalkan nama sedia ada sebelum ia dimuktamadkan Jun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Melaka ke-14 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Menurutnya, model baharu dilaksanakan perlu mengambil kira semua faktor termasuk dapat memenuhi keperluan 70 peserta dalam mewujudkan situasi menang-menang antara syarikat swasta yang berminat dengan peserta terlibat.

"Untuk memenuhi keperluan 70 orang itu bagi model sedia ada (pertanian) mungkin tak mampu dengan tanah seluar 15 ekar itu, kalau kita memaksa pemaju mengambil 70 peserta, kemungkinan rugi itu sudah pasti dan model baru untuk memastikan mereka boleh bekerja dan syarikat itu mampu berdaya saing dan maju.

"Setakat ini kita tengah mencari jalan dan memproses makanan salah satu cadangan, sebab itu kita masih membuka tawaran supaya kita boleh pergi dari pertanian kepada perindustrian," katanya.

Terdahulu, Adly (Amanah-Bukit Katil) ketika menjawab soalan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai status program itu dan bagaimana nasib peserta yang terlibat berkata, berdasarkan hasil tinjauan Disember tahun lalu mendapati 84 daripada peserta bekerja di luar bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

"MAIM memberi kebenaran kepada peserta untuk bekerja di luar kawasan ladang sehingga agensi itu melantik syarikat baru untuk mengambil alih program tersebut," katanya.