Sustainable Infrastar jaga kelestarian alam sekitar

Menteri Kerja Raya, Baru BIAN menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) dan pameran perdagangan, ASEAN Super 8 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Menteri Kerja Raya, Baru BIAN menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) dan pameran perdagangan, ASEAN Super 8 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha memastikan sektor pembinaan negara tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengambil inisiatif membangunkan alat penarafan dikenali sebagai Sustainable Infrastructure Rating Tool (Sustainable Infrastar).

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, alat penarafan yang menggabungkan elemen pendekatan hijau itu akan digunakan untuk mengukur tahap kemampanan sesebuah projek infrastruktur.

"Wujudnya sistem penarafan ini, kita dapat menilai tahap kemampanan dalam pembangunan infrastruktur ke peringkat yang lebih baik.

"Pada masa sama, membantu memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan mendatangkan kebaikan terhadap alam sekitar dan sosial sejajar dengan piawaian di dalam serta luar negara," katanya.

Beliau berkata pada Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2019 (ICW 2019) dan pameran perdagangan, ASEAN Super 8 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Bersama UBM Malaysia, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Tambah beliau, menerusi Sustainable Infrastar setiap projek yang dilaksanakan perlu melalui pendekatan hijau ke arah pembangunan mampan bagi meningkatkan kualiti hidup.

"Sistem penarafan tersebut merangkumi enam teras yang terdiri daripada prarekabentuk dan prapembinaan; kegunaan tanah; ekologi, alam sekitar dan bahan, sumber serta sisa.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita menyasarkan sebanyak 50 peratus syarikat yang memiliki projek bernilai lebih RM100 juta akan memanfaatkan Sustainable Infrastar bermula tahun depan," ujarnya.

Sustainable Infrastar boleh diaplikasikan untuk projek infrastruktur seperti jalan raya, terowong dan jambatan; sistem pengangkutan rel, perkhidmatan utiliti air, lapangan terbang atau kemudahan sisa-sisa pepejal.

Dalam pada itu, ICW 2019 dan ASEAN Super 8 yang berlangsung sehingga Khamis ini turut menyaksikan seramai 21 syarikat kontraktor menerima Anugerah Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontaktor (SCORE) 5 Bintang kelolalan CIDB.

Antaranya ialah syarikat Widad Business Group, IJM Construction Sdn Bhd, Sunway Engineering Sdn Bhd, Gamuda Engineering Sdn Bhd, Titi Maju Sdn Bhd dab MITC Engineering Sdn Bhd.

Kesemua pemenang dinilai berdasarkan tujuh parameter seperti Prestasi Perniagaan, Keupayaan Kewangan, Keupayaan Teknikal, Pengurusan Projek, Pengurusan Perolehan, Amalan Terbaik dan Keupayaan Pengurusan.