Pelari maraton dari Sabah bakal tawan puncak Everest

Adelinah
Adelinah
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SEORANG pelari maraton bakal merealisasikan impiannya untuk menawan puncak Gunung Everest menerusi Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022, pada Mei depan.

Adelinah Lintanga, 37, menyimpan impian itu sejak lima tahun lalu dan berharap dapat mengibarkan bendera Sabah di puncak gunung tertinggi dunia itu nanti.

Katanya, kali pertama beliau menjejakkan kaki di Nepal pada 2017 bagi menyertai Royal Penguin Ultra Marathon sejauh 60 kilometer yang diadakan di kaki Gunung Everest.

"Ketika itu, saya sudah menyimpan impian untuk datang semula ke Nepal untuk mendaki Gunung Everest.

"Tidak sangka, permohonan saya menyertai Ekspedisi Everest kali ini membolehkan saya merealisasikan impian menawan puncak Everest," katanya pada sidang media Program Keluarga Malaysia 'Everest Expedition 2022, Journey To The Top By Sabahan' di sini, pada Jumaat.

Bercerita lanjut, anak jati Kota Belud itu memaklumkan bahawa dia menghantar resume untuk menyertai program itu pada Januari lalu.

"Saya amat teruja kerana terpilih sebagai satu-satunya wakil dari Sabah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jeffrey (tengah) bersama Adelinah (kanan) menandatangani dokumen perasmian dan penyertaan Ekspedisi Everest di Kota Kinabalu.
Jeffrey (tengah) bersama Adelinah (kanan) menandatangani dokumen perasmian dan penyertaan Ekspedisi Everest di Kota Kinabalu.

Menurutnya lagi, dari segi fizikal dia sudah melakukan dengan sebaik mungkin, namun dari segi mental perlu dikuatkan lagi kerana pendakian itu memberi cabaran yang berbeza berbanding larian maraton.

"Saya akan menjalani latihan pendakian di Gunung Kinabalu serta dua gunung di Nepal sebelum meneruskan ekspedisi menawan Gunung Everest.

"Faktor cuaca yang sejuk dan ketinggian akan memberi cabaran yang hebat namun saya bersedia untuk mengharungi cabaran bagi memastikan kibaran bendera Sabah di puncak Everest dapat dilakukan.

"Saya akan berasa bangga sekiranya menjelang hujung Mei nanti, bendera Sabah boleh dikibarkan di puncak gunung tertinggi di dunia," katanya.

Sementara itu, pendaki negara, T Ravichandran berkata, menerusi program itu, mereka akan bergerak dalam kumpulan yang disertai lima pendaki termasuk dua pendaki wanita dari Sabah dan Sarawak serta lima sherpa atau malim gunung.

"Kita sudah mengkaji risiko yang akan dihadapi dan akan cuba mengurangkan risiko tersebut, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca. Pendakian ini akan mengambil masa perjalanan selama 60 hari.

"Memandangkan kos bagi setiap seorang pendaki RM168,000 maka kami akan cuba mengumpul dana dan berharap mendapat sokongan daripada kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam kabinet negeri untuk melihat bantuan yang boleh diberikan bagi menyokong penganjuran program tersebut.