Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meningkat semula untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat, di tengah-tengah kemerosotan mata wang negara maju dan sentimen tempatan yang lebih memberangsangkan.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2005/2040 berbanding dolar AS daripada 4.2030/2080 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen yang lebih baik di pasaran tempatan telah meraih minat terhadap ringgit.

"Sementara itu, minyak mentah Brent telah meningkat melepasi AS$100 setong, manakala ekuiti serantau secara umumnya dalam keadaan baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahap sekatan ekonomi telah dipertingkat dengan tindakan terkini daripada Suruhanjaya Eropah yang memutuskan untuk mengurangkan 70 peratus daripada sistem perbankan Rusia daripada pasaran kewangan antarabangsa dan meletakkan had jumlah wang yang boleh dipegang oleh kumpulan elit Rusia di Kesatuan Eropah.

Malah, terdapat larangan bagi penjualan pesawat dan barang ganti ke Rusia.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1016/1044 daripada 3.1062/1104 semasa ditutup semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6177/6224 daripada 5.6455/6522.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan menokok berbanding yen kepada 3.6422/6455 daripada 3.6624/6671 dan naik berbanding euro kepada 4.6966/7005 daripada 4.7086/7142 sebelum ini.- Bernama