Hishammuddin pulih daripada gejala Covid-19

Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
Hishammuddin Tun Hussein - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan dirinya telah pulih daripada sebarang gejala Covid-19, namun akan menjalani isolasi di kediamannya.

Beliau berkata, pasukan perubatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

“Alhamdulillah hasil penilaian pada pagi tadi, gejala yang saya alami telah pulih. Secara keseluruhannya, pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kesihatan saya.

“Susulan itu, saya dibenarkan untuk keluar wad petang ini. Walau bagaimanapun, saya diwajibkan untuk terus menjalani isolasi di kediaman mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Pada Selasa, pejabat Kementerian Pertahanan mengesahkan Hishammuddin positif Covid-19 dan telah menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan KKM.

Dalam pada itu, Hishammuddin merakamkan setinggi penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang telah menjaga dan merawat beliau sepanjang menjalani isolasi di hospital berkenaan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan serta rakyat Malaysia yang prihatin dan mendoakan kesembuhan saya. Semoga ALLAH SWT merahmati kita semua,” katanya.

Artikel Berkaitan: