Abdul Hadi yakin sokongan pengundi UMNO 'mesra' Pas

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin calon yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan mampu meraih sokongan pengundi UMNO yang disifatkan sebagai 'mesra' Pas.

Menurutnya, beberapa faktor telah dikenal pasti mampu mempengaruhi sokongan sekali gus memberi kejayaan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya itu.

"Kita lihat, undi kita bergantung kepada mereka yang pertamanya ialah (pengundi) UMNO yang mesra kita, kedua, UMNO yang protes terhadap pimpinan dia dan (ketiga) mereka yang tidak lagi mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana (merasakan) ditipu dalam pilihan raya lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi berkata, pembahagian kerusi bagi calon-calon PN dalam PRN Johor adalah telus, malah beliau menyifatkan momentum PRN Johor akan lebih berpihak kepada PN.

"Saya melihat secara rambang antaranya ialah peningkatan undi ketika pilihan raya di Sabah. PN berjaya di Sabah di mana BN yang sebelum ini bertanding beberapa puluh kerusi tinggal beberapa belas sahaja.

"PN dapat kemenangan besar dengan meraih sokongan pengundi 'mesra' PN. Di Melaka pula, UMNO dapat undi yang asal sahaja dan tidak mendapat undi baharu.

"Jumlah undi kita (PN) meningkat dalam PRN di Melaka dan Sarawak. Jadi, kita harap momentum di Johor pun sama. Kita usaha seberapa banyak untuk menang, " katanya.

PRN Johor menyaksikan calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendominasi senarai calon-calon PN.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu mengetengahkan 33 calon manakala Pas (15) dan lapan daripada Parti Gerakan.

Artikel Berkaitan:

Barisan Nasional (BN) pula bakal menampilkan lebih 70 peratus muka baharu di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan UMNO menampilkan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.