Korea Selatan di Ukraine gesa rakyat siap sedia hadapi kemungkinan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEOUL - Kedutaan Korea Selatan di Kiev pada Jumaat menasihati rakyatnya siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku berikutan kebimbangan serangan tentera Rusia ke atas pelbagai kemudahan di Ukraine.

"Terdapat kemungkinan kejadian huru-hara di Kiev dan bandar-bandar utama yang lain, termasuk gangguan bekalan elektrik dan komunikasi, kebakaran dan letupan, manakala pelakunya mungkin sukar dipastikan," menurut Kedutaan Korea Selatan dalam laman sesawangnya, lapor agensi berita Yonhap.

Kakitangan kedutaan telah siap siaga dan sentiasa memantau keselamatan rakyat mereka, tambah kenyataan itu.

Sehingga Khamis, seramai 64 warga Korea masih berada di negara itu dan 28 daripadanya berhasrat kekal di sana, meskipun kerajaan berulang kali menasihati rakyatnya meninggalkan Ukraine, menurut kementerian luar.

Sebelum ini, kementerian berkata pihaknya akan memindahkan kakitangan kedutaan dan rakyatnya dari Kiev pada Jumaat dengan menggunakan jalan darat.

Bagaimanapun, kedutaan akan terus beroperasi demi memastikan keselamatan rakyat Korea Selatan yang masih berada di Ukraine. - Bernama

Artikel Berkaitan: