Kerajaan peruntuk RM1.6 bilion tangani muara sungai cetek

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SETIU - Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 bilion bagi menangani isu muara sungai cetek di seluruh negara bagi tempoh 2002 sehingga 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kepesatan ekonomi di kawasan muara sungai menimbulkan cabaran seperti pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir.

"Kita juga mendengar keluhan para nelayan yang mengalami kesukaran mengemudi bot untuk mencari rezeki kerana muara sungai cetek akibat mendapan pasir.

"Segelintir mereka terpaksa menanggung kerugian harta benda malah kehilangan nyawa akibat kemalangan (di muara sungai)," katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di sini, pada Jumaat.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) komited untuk mengatasi masalah mendapan serius di muara-muara sungai terbabit.

Tuan Ibrahim berkata, Malaysia khususnya Terengganu, mempunyai garisan pantai yang panjang serta muara sungai yang banyak dan besar.

"Masalah mendapan muara berlaku di seluruh negara, namun Terengganu menerima peruntukan paling tinggi berjumlah RM1.16 bilion (daripada RM1.6 bilion) kerana terdapat 14 muara sungai di Terengganu berbanding negeri lain yang hanya ada tiga atau empat muara," katanya.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak RM343 juta telah diluluskan untuk negeri ini melaksanakan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.

Artikel Berkaitan:

"Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu adalah salah satu daripada projek baharu tersebut dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya dan menambah kerja-kerja pembinaan telah bermula Januari lepas dan projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, projek tersebut merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak, struktur tembok arah alir, lapis lindung, penyuburan pantai dan penggalian alur navigasi sejauh 14 kilometer, bermula dari Kampung Gong Batu sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Penarik dekat sini.

"Segala peruntukan dan projek yang diluluskan ini merupakan simbolik keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk menyejahterakan kualiti hidup rakyat Terengganu," katanya. - Bernama