Biden tidak berhasrat hantar tentera AS berperang di Ukraine

Biden. Foto AFP
Biden. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON- Presiden Joe Biden tidak berhasrat menghantar tentera Amerika Syarikat (AS) untuk berperang di Ukraine, menurut jurucakap Rumah Putih Jen Psaki, pada Khamis.

"Pendirian itu tidak berubah," Psaki berkata dalam satu sidang media.

Beliau berkata, Washington akan bertindak balas dengan mengenakan sekatan ekonomi yang ketat berikutan campur tangan Rusia di Ukraine.

Ditanya berhubung kemungkinan perang nuklear selepas Presiden Rusia Vladimir Putin memberi amaran mereka yang menyokong Ukraine bakal menerima "akibat”, Psaki berkata "kami tidak melihat sebarang peningkatan ancaman setakat ini."

Psaki turut memaklumkan AS bersedia memberi peruntukan bantuan kemanusiaan "lebih besar” kepada Ukraine.

Dari segi bantuan kemanusiaan, kami telah menyalurkan bantuan terbesar bernilai AS$ 52 juta kepada Ukraine tahun lepas.

Sejak beberapa minggu lalu, kami juga menyediakan pembiayaan tambahan dan bekalan kepada organisasi kemanusiaan," tambahnya.

AS turut mengecam laporan mengenai kakitangan kemudahan penyimpanan sisa nuklear Chernobyl di Ukraine dijadikan tebusan dan menggesa mereka dibebaskan, tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu penasihat presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, Kiev telah hilang kawalan ke atas loji janakuasa di utara negara itu selepas pertempuran sengit dengan tentera Rusia.

Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine pada Khamis, beberapa hari selepas Kremlin mengiktiraf dua wilayah di timur Ukraine, sehingga mengundang kecaman antarabangsa dan sekatan lebih ketat ke atas Moscow.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menandatangani dekri pada Jumaat mengenai pemindahan penduduk secara besar-besaran berikutan serangan Rusia.

Beliau berkata, 137 orang termasuk orang awam terbunuh pada hari pertama operasi ketenteraan Rusia. - Bernama