Congak langkah Piala Asia

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya bakal berdepan ujian getir dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China. - Foto FB FAM
A
A
A

SEKURANG-kurangnya tujuh mata menjadi sasaran pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon bagi mengharungi aksi Kumpulan E Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Jun depan.

Menurut Pan-gon, sasaran berkenaan perlu direalisasikan dalam usaha memastikan kemaraan Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China tahun depan.

“Sasaran kita adalah untuk meraih tujuh mata daripada saingan peringkat Kumpulan E ini dalam usaha kita layak mara ke pusingan akhir (Piala Asia 2023).

“Perlawanan paling penting apabila berdepan Turkmenistan. Kita harus cuba sebaik mungkin bagi meraih tiga mata termasuk ketika berdepan pasukan daripada Balang 4, Bangladesh.

“Biarpun ramai yang melabel Bahrain sebagai lawan paling kuat tetapi kita masih lagi boleh memberikan saingan,” katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.

Kim Pan-gon
Kim Pan-gon

Malaysia yang kini menduduki tangga ke-154 dunia diundi mempunyai sedikit kelebihan sebagai tuan rumah, akan memulakan kempen sesi kelayakan itu bertemu Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 8 Jun.

Anak-anak buah Pan-gon dijadualkan menentang pasukan ke-89 dunia, Bahrain pada 11 Jun sebelum berdepan Bangladesh (186) tiga hari kemudian bagi memburu kelayakan ke pentas Piala Asia 2023.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Pan-gon berkata, skuad Harimau Malaya perlu memanfaatkan sebaiknya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dalam usaha memburu kemenangan.

“Kita akan cuba memberikan aksi yang terbaik bersandarkan sokongan padu daripada penyokong sendiri yang mahu menyaksikan kejayaan pasukan negara kali ini.

“Sebagai tuan rumah, kita perlu memanfaatkan segala kelebihan yang ada dari segi sokongan Ultras Malaya, cuaca, stadium dan sebagainya bagi memacu kejayaan yang diinginkan,” ujar Pan-gon.

Berdasarkan format kelayakan, enam juara kumpulan peringkat ketiga kelayakan itu akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023 dengan lima lagi slot untuk naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Malaysia kali terakhir layak ke Piala Asia secara merit pada 1980 di Kuwait manakala pada 2007, Harimau Malaya layak sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.