Tangguh konvokesyen, 27,287 graduan kecewa

No Image Caption
A
A
A

BERBICARA tentang konvokesyen, ia tentunya pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan kepada sesiapa yang pernah bergelar graduan.

Anugerah terindah selepas pelbagai cabaran dan rintangan diharungi ketika menuntut ilmu.

Namun, bagi graduan yang terpaksa berdepan era pandemik Covid-19, cabaran berganda terpaksa ditempuhi.

Hari penuh bersejarah yang patut diraikan bersama insan tersayang terpaksa dilupakan buat seketika.

Minggu lalu, pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengeluarkan satu kenyataan rasmi di laman sesawangnya pada Khamis berhubung penangguhan Istiadat Konvokesyen Ke-93 yang dijadualkan pada 2 hingga 23 Mac ini.

Konvokesyen tersebut dijangka diadakan pada Jun hingga Julai tahun ini, namun UiTM mengambil maklum perkembangan terkini penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia telah meningkat secara mendadak.

Keputusan itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Bil 5/2022 yang diadakan pada Rabu.

Sehubungan itu, pihak universiti bersetuju menangguhkan istiadat konvokesyen yang melibatkan seramai 27,287 graduan UiTM Shah Alam, Selangor; cawangan Sarawak dan Sabah.

Jelas UiTM, keputusan dibuat berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) susulan peningkatan kes Covid-19 yang amat merisaukan pihak universiti.

Ia juga mengambil kira pelbagai aspek dari segi keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan graduan serta warga universiti.

“Pihak pengurusan UiTM memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami graduan dan ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

“Pihak UiTM juga kesal dengan situasi di luar kawalan ini dan amat menghargai kefahaman, sokongan serta kerjasama yang diberikan semua pihak dalam hal ini,” menurut kenyataan tersebut.

Walaupun berita itu mengecewakan ribuan graduan yang terlibat, namun demi keselamatan, mereka harus akur dan menerima keputusan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, seorang pengguna Twitter @dfansina berpendapat, banyak lagi faktor yang perlu diambil kira sebelum pihak universiti membuat keputusan tersebut.

Malah katanya, universiti juga dilihat bertindak lambat berbanding universiti lain yang berjaya melaksanakan istiadat konvokesyen mereka meskipun ketika Covid-19.

Selain itu, terdapat memorandum bantahan penangguhan istiadat konvokesyen dengan mengaitkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac nanti.

Menariknya tweet tersebut – “Sekiranya pilihan raya boleh diadakan di dalam sebesar satu negeri, mengapa istiadat konvokesyen tidak boleh dilakukan hanya di dalam sekecil satu dewan?”

Disebabkan kelewatan pihak universiti memaklumkan penangguhan tersebut, ramai lepasan universiti meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat merasai acara wajib sebaik tamat belajar.

Malah, sebahagian penuntut terutama di Sabah dan Sarawak telah membelanjakan ratusan ringgit membeli tiket kapal terbang semata-mata ingin meraikan kejayaan tersebut.

Walaupun pihak universiti sedang berusaha memudahkan isu tiket penerbangan dengan syarikat penerbangan untuk ganti rugi yang ditanggung graduan tetapi ia tidak harus berlaku.

Penulis berpendapat, konvokesyen berkenaan boleh sahaja diteruskan jika pihak universiti mengambil langkah berjaga-jaga kerana SOP sangat ketat, hanya melibatkan graduan, manakala ahli keluarga tidak dibenarkan berada di dalam kawasan universiti.

Penulis cuma tertanya-tanya, apa perbezaan SOP konvokesyen UiTM dan SOP PRN Johor? Adakah kluster tidak akan wujud?

Kita kini sedang menuju ke era endemik, jadi mahu tidak mahu kita perlu hidup dengan Covid-19.

* Mohamad Kornain ialah Kurator Media Sosial Sinar Harian