Polis kenal pasti suspek utama kes tipu pelaburan saham

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti suspek utama dan beberapa suspek lain yang disyaki terlibat dengan penipuan skim pembelian saham keutamaan syarikat pasangan bergelar Datuk Seri dan Datin Seri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini sebanyak 19 laporan polis diterima melibatkan jumlah kerugian mencecah RM3 juta.

"Kita sedang berusaha mengesan dan menangkap mereka yang disyaki terlibat dalam kes ini," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, berdasarkan siasatan, skim pelaburan itu menawarkan pembelian saham syarikat yang didakwa patuh syariah.

"Pelabur dijanjikan faedah sebanyak empat peratus setiap bulan dan wang pelaburan pokok akan dipulangkan setelah kontrak pelaburan tamat.

"Bagaimanapun, faedah tersebut hanya dibayar pada peringkat awal pelaburan sebelum pihak syarikat menghilangkan diri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya melakukan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.

"Orang ramai perlu melakukan semakan lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Kamarudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.