X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Mohd Kamal Hassan dilantik Pengerusi IKIM

Mohd Kamal dilantik sebagai Pengerusi IKIM berkuat kuasa pada Khamis. - Foto Institut Kefahaman Islam Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Mohd Kamal adalah seorang tokoh pemikir Islam yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

"Sukacita saya ingin memaklumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah bersetuju untuk melantik Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan sebagai Pengerusi IKIM dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengerusi IKIM,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Mohd Kamal, 79, memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975. Keilmuan dan ketokohan beliau diiktiraf sehingga peringkat antarabangsa.

Mohd Kamal diamanahkan sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006 selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja serta dinobatkan Profesor Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik.

Sementara itu, Wan Mohamad berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1978.

Beliau turut memiliki Diploma Sains Pengurusan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1989 selain mempunyai kepakaran dalam pengurusan hal ehwal Islam termasuk bidang dakwah, penyelidikan serta pembangunan Islam.

Wan Mohamad pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari 2007 hingga 2011 serta menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM).

Sambil mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut, Idris berkata, kerajaan yakin dengan gabungan kewibawaan kedua-dua individu tersebut untuk menerajui kecemerlangan IKIM sesuai dengan visi dan misi penubuhan institut berkenaan.

"Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!