Felcra agih keuntungan RM272.75 juta

Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir projek peserta-peserta Felcra 2021 kepada Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Berhad Malaysia, Datuk Sabari Misran (dua dari kanan) ketika majlis pengisytiharan di Lembaga Hasil Dalam Negeri pada Khamis. - Foto Bernama
Mahdzir (dua dari kiri) menyampaikan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir projek peserta-peserta Felcra 2021 kepada Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Berhad Malaysia, Datuk Sabari Misran (dua dari kanan) ketika majlis pengisytiharan di Lembaga Hasil Dalam Negeri pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Sejumlah 72,509 peserta Felcra Berhad di seluruh negara menerima agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bernilai RM272.75 juta bagi tahun 2021, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, ia menjadikan keseluruhan keuntungan Boleh Agih Felcra bagi tahun 2021 berjumlah RM475.2 juta, peningkatan hampir 200 peratus berbanding keuntungan pada 2020 yang berjumlah RM159.086 juta.

"Peningkatan harga kelapa sawit membantu memberi keuntungan agihan lebih, walaupun Felcra antara syarikat yang terkesan akibat Covid-19.

"Namun, cabaran itu tidak menghalang bagi Felcra meningkatkan usaha untuk mengoptimumkan pulangan dividen kepada para pesertanya,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan dan Penyerahan Keuntungan Boleh Agih Akhir Peserta Felcra Berhad 2021 pada Khamis.

Mahdzir berkata, fasa pertama bagi Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 berjumlah RM136.37 juta akan diagihkan esok iaitu dua bulan lebih awal dari kebiasaan manakala agihan fasa kedua berjumlah RM136.37 juta akan disalurkan pada April.

Sebelum ini, Felcra mengagihkan Keuntungan Boleh Agih bagi Agihan Interim Satu pada Ogos 2021 berjumlah RM76.22 juta dan Agihan Interim Dua pada November 2021 berjumlah RM126.23 juta.

Sejumlah RM42.5 juta keuntungan Boleh Agih Projek Peserta Felcra bakal dinikmati oleh 8,853 pesertanya di Johor.

Katanya, selain itu Felcra memberi kelulusan pelaksanaan Projek Perlengkapan Kampung khusus untuk Peserta Wilayah Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan: