Dua tokan edar ganja diberkas

Mohamad Fakhrudin menunjukkan ketulan mampat dadah yang dirampas polis dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, pada Khamis.
Mohamad Fakhrudin menunjukkan ketulan mampat dadah yang dirampas polis dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua lelaki disyaki tokan mengedar ganja ditahan polis dalam serbuan di Damansara dan Taman Tun Dr Ismail di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya turut merampas dadah tersebut seberat 19.1 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM63,099.

"Polis memberkas seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Proton Satria di sebuah pasar raya di Damansara pada jam 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan, kami menjumpai satu kotak berisi 17 ketulan mampat ganja seberat 16.2 kg. Polis turut menyita kenderaan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pada Khamis.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil soal siasat, pihaknya memberkas seorang lagi lelaki berusia 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail pada jam 7 malam.

"Hasil pemeriksaan, polis menjumpai ganja 2.9 kg di dalam almari di rumah berkenaan dan turut menyita sebuah kereta volkswagen," katanya.

Menurutnya, suspek pertama berperanan membeli dadah secara pukal daripada pengedar lain dengan nilai RM 3,000 bagi satu ketulan mampat dadah.

"Kemudian, suspek kedua membeli dadah tersebut daripada suspek pertama dengan nilai RM3,300 bagi satu ketulan mampat dadah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berkenaan kemudian menjual dadah tersebut kepada penagih dengan nilai RM30 bagi satu peket kecil," katanya.

Tambah Mohamad Fakhrudin, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (thc).

"Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952," katanya.