PICKids: Pulau Pinang negeri ketiga tertinggi

Kanak-kanak, Naufal Afkar Zulkifli, 6, antara penerima suntikan vaksin yang hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids). - Foto Bernama
Kanak-kanak, Naufal Afkar Zulkifli, 6, antara penerima suntikan vaksin yang hadir pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids). - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN- Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi dalam pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) dengan peratusan 25.7 peratus sehingga Rabu.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, peningkatan itu menunjukkan ibu bapa semakin sedar dengan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada wabak Covid-19.

"Kadar peratusan 25.7 peratus meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan ketiga tertinggi dalam vaksinasi kanak-kanak setakat ini di Malaysia. Sementara itu, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan 25.8 peratus pelajar berusia lima hingga 11 tahun di bawah sekolah KPM telah divaksin.

"Kadar PICKids semakin meningkat dari hari ke hari menunjukkan bahawa ibu bapa sedar dengan kepentingan vaksinasi. Ini terbukti apabila lebih 300 ibu bapa dari Seberang Perai Tengah terlibat dalam Sesi Libat Urus PICKids anjuran pejabat saya pada minggu lalu," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sehingga Selasa, Sarawak; Melaka; Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang adalah negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi dalam pemberian vaksin kanak-kanak iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

Sementara itu, tiga negeri mencatatkan di bawah 10 peratus iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Tambah Norlela lagi, kerajaan negeri memerlukan lebih banyak kesedaran daripada ibu bapa kerana ia penting dalam menyelamatkan nyawa anak-anak.

"Sehingga awal bulan ini, seramai 147,282 (10.1 peratus) kanak-kanak di Malaysia dijangkiti virus Covid-19 manakala 26 daripada kes berakhir dengan kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan seramai 564,220 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin menerusi PICKids sehingga Isnin lalu.

Jumlah itu merupakan 15.9 peratus daripada 4 juta jumlah keseluruhan kanak-kanak di Malaysia.

Sementara itu, Norlela menambah, hampir semua orang dewasa di negeri ini sekurang-kurangnya diberi vaksin sepenuhnya dan hampir 70 peratus dos penggalak selesai.

Bagaimanapun katanya, kurang daripada satu peratus daripada populasi tidak diberi vaksin, majoriti kematian masih daripada kumpulan ini.