Amalkan politik matang menjelang PRN Johor

PRN Johor kali ini dijangka menarik kerana hampir kesemua parti politik di Semenanjung akan beradu kekuatan.Gambar hiasan
PRN Johor kali ini dijangka menarik kerana hampir kesemua parti politik di Semenanjung akan beradu kekuatan.Gambar hiasan
A
A
A

BEBERAPA hari lagi politik negara sekali lagi menjadi tumpuan, tapi kali ini di selatan tanah air. Hari penamaan calon pada Sabtu ini menjadi pembuka kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menyaksikan setiap parti bertanding mula sibuk memasang strategi.

PRN Johor kali ini dijangka menarik kerana hampir kesemua parti politik di Semenanjung akan beradu kekuatan, lebih-lebih lagi parti baharu yang buat julung kali mempertaruhkan calon mereka.

Turut menjadi tumpuan pastinya calon yang melompat parti dan bakal bertanding mewakili parti baharu mereka. Di sinilah penentu sejauh mana kekuatan calon itu sendiri tanpa bernaung dengan parti lama mereka.

Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan pada 22 Januari lalu, pemimpin parti saling berbalas serangan isu-isu politik, namun yang kurang enak apabila ada yang menyentuh isu peribadi, agama dan kaum.

Berbeza pendapat itu tidak salah kerana ia prinsip demokrasi, malah penting untuk pembangunan negara serta negeri, tetapi politik tidak matang akan menjejaskan keharmonian rakyat.

Tambah mengecewakan apabila sebilangan orang lama dalam politik yang dilihat sering berhujah semberono. Rakyat memerlukan pemimpin politik yang berilmu dan memberi teladan baik kepada generasi muda.

Seramai 2.59 juta pengundi Johor akan memilih wakil rakyat masing-masing membabitkan 56 kerusi DUN. Rakyat negeri itu mahu parti politik bertanding memberikan idea-idea bernas dan realistik terutama aspek pembangunan ekonomi. Biasanya, di peringkat negeri, isu setempat lebih relevan diketengahkan berbanding isu nasional.

Gunakan tempoh berkempen sebaik-baiknya bagi menambat hati pengundi agar mereka membuat pilihan tepat pada hari pengundian pada 12 Mac nanti.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, isu keselamatan dan kesihatan jangan diabaikan terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19. Meskipun ramai yang lengkap vaksin dan dos penggalak, namun ancaman varian Delta dan Omicron masih belum berakhir.

Paling penting, orang politik perlu jadi contoh terbaik dan tidak sesekali melanggar SOP walaupun dalam kesibukan berkempen.