Gajah mati tiada siapa peduli

Seekor gajah betina ditemukan mati di tepi jalan Jalan Empangan Pedu di Kampung Pinang, Pedu pada 15 Februari lalu. - Foto Bernama
Seekor gajah betina ditemukan mati di tepi jalan Jalan Empangan Pedu di Kampung Pinang, Pedu pada 15 Februari lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KISAH ajaib seekor anak gajah yang diangkat dalam filem terbitan Disney Studio iaitu Dumbo begitu jelas menceritakan bahawa eksploitasi manusia terhadap mamalia gergasi herbivor itu telah wujud sejak dahulu.

Di sebalik aksi lucu watak Dumbo yang menggeletek hati penonton, adaptasi filem animasi klasik tahun 1941 itu menerapkan banyaknya moral yang wajar direnungi.

Filem garapan Tim Burton hasil karya Helen Aberson dan Harold Pearl mengisahkan kelompok sarkas Medici Brothers, Holt Farier bersama dua anaknya, Milly dan Joe serta pemilik sarkas Max Medici yang mengharapkan Jumbo melahirkan seekor anak gajah bakal merubah bisnes sarkas mereka.

Namun, ketidaksempurnaan anak gajah yang dilahirkan mengecewakan mereka, lalu bermulalah detik-detik pilu yang mengakibatkan Jumbo dan anaknya, Dumbo terpisah. Kecacatan Dumbo menjadikannya bahan ejekan ketika persembahan sarkas.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan Jumbo sehinggalah ia dikurung kerana dipercayai ‘mengamuk' semasa pertunjukan sarkas. Bagaimanapun, Dumbo yang dilahirkan dengan telinga besar ini memiliki kelebihan lain iaitu keupayaan untuk terbang.

Penderaan emosi yang dilalui oleh Jumbo dan Dumbo berpunca daripada sifat haloba manusia ini telah menimbulkan konflik antara manusia dan gajah. Fakta yang tidak dipedulikan oleh manusia adalah gajah makhluk kaya emosi, tinggi empati dan pintar.

Minggu lalu, penduduk kampung berhampiran Kampung Pinang, Pedu, Kedah yang ingin keluar menoreh pada awal pagi gempar apabila menemui seekor gajah mati dalam keadaan terduduk dengan kesan darah pada najisnya.

Kematian gajah betina seberat dua tan berumur 20 tahun itu menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akibat termakan baja atau racun.

Tujuh hari sebelum itu, Amarula, salah satu daripada gajah paling popular di Afrika menghembuskan nafas akhirnya pada usia 65 tahun akibat penyakit tua. Gajah jantan itu merupakan penghuni Taman Negara Pilanesberg di Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan:

Pada awal Februari, gajah jantan berusia 15 tahun yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih, Terengganu yang sepatutnya dipindahkan ke lokasi yang sesuai, mati dua hari kemudian di kebun getah di kampung berkenaan.

Carian Google juga menunjukkan 8,790,000 paparan artikel yang berkisar kematian gajah, sekali gus mendedahkan bahawa kepupusan mamalia besar tergolong dalam keluarga gajah Afrika dan gajah Asia begitu kritikal.

Menurut Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman, selain penerokaan hutan secara besar-besaran antara ancaman lain gajah adalah pemburu haram yang ingin mendapatkan gadingnya.

Jelas beliau, sebanyak 24 kematian gajah Pigmi Borneo direkodkan pada tahun 2019. Sejak tahun 2010, sebanyak 145 kes kematian gajah dicatatkan di Sabah. Jumlah itu dianggap besar, apatah lagi gajah di Sabah di ambang kepupusan iaitu sekitar 2,000 ekor sahaja.

Laman web One Green Planet mendedahkan, di kawasan gajah yang kian pupus, sesetengah spesies tumbuhan turut terkesan. Tanpa sedar, gajah adalah ejen terpenting menyebarkan benih pokok.

Menurut worldelephantday.org dalam tempoh sedekad bilangan gajah merudum sehingga 62 peratus. Bayangkan, setiap hari 100 ekor gajah Afrika dibunuh untuk gading, daging dan lain-lain bahagian tubuhnya.

Tahun ini, sambutan Hari Gajah Sedunia yang diraikan setiap 12 Ogos sudah pun sedekad. Berita buruknya adalah saban hari kita menerima berita kematian mamalia gergasi ini begitu tragis.

Memetik kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Save the Elephants, Dr Iain Douglas-Hamilton, gajah tidak boleh dihasilkan seperti mencetak barang di kilang. Apabila ia mati, tiada apa yang boleh diganti.

Apapun punca kematian gajah, ia adalah satu tragedi. Kepupusan haiwan yang memiliki saiz otak terbesar di darat ini bermakna kita kehilangan‘penjaga’ ekosistem semula jadi.

Benarlah, gajah mati tiada siapa pun yang peduli!

* Najibah Hassan ialah Penyunting Sinar Harian