Reezal Merican sedia bantu Mun Yee realisasi impian

Reezal Merican (tengah) ketika berkunjung ke Heroes Cafe milik Mun Yee pada Selasa. FOTO: FB Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican (tengah) ketika berkunjung ke Heroes Cafe milik Mun Yee pada Selasa. FOTO: FB Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersedia membantu bekas ratu terjun negara, Datuk Leong Mun Yee dalam merealisasikan impiannya menubuhkan akademi terjun.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Mun Yee ada berkongsi dengannya mengenai matlamat menubuhkan akademi sendiri untuk terus memartabatkan sukan terjun di Malaysia.

“Saya dapat lihat dengan jelas betapa mendalamnya kecintaan anda terhadap sukan ini.

“Seperti saya katakan tadi, anda mendapat sokongan penuh saya dalam memulakan akademi ini, jika anda memerlukan sebarang bantuan saya sedia membantu - bukan sebagai Menteri tetapi atas kapasiti saya sendiri sebagai penyokong anda,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Sementara itu, menu Kopi C Peng (ais) dan Ipoh White Coffee menjadi pilihan Reezal Merican ketika berkunjung ke Heroes Cafe milik Mun Yee pada Selasa bagi menunaikan janji untuk singgah ke kafe itu selepas tidak dapat hadir pada majlis pembukaannya 11 November lalu.

Dalam masa sama, Reezal Merican turut mengucapkan tahniah kepada Mun Yee dan pasangannya Poh Yu Shen yang baru melangsungkan pertunangan.

“Saya harap masa depan anda bersama dipenuhi dengan kebahagiaan, tawa, dan cinta yang tidak terhingga. Tidak sabar menunggu hari bahagia anda,” katanya.

Mun Yee yang bersara sebagai atlet kebangsaan selepas beraksi di Olimpik buat kali kelima di Tokyo 2020 pada Julai 2021, kini berkhidmat sebagai jurulatih terjun di Majlis Sukan Negara (MSN) sambil mengusahakan Heroes Cafe.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang mula menceburi sukan terjun pada usia 10 tahun adalah antara penerjun negara paling berjaya dengan pelbagai kejayaan termasuk pingat perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan dua emas di Sukan SEA KL, 2017.