Sila log masuk terlebih dahulu.

Terengganu, syarikat swasta bekerjasama bina lebih 1,700 rumah

Dr Alias (kanan) pada sidang media selepas pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Cadangan Pembangunan Perumahan RMM Dan Bercampur Secara Penswastaan di Kerteh Jaya dan di Kampung Semayor, Kemaman di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
Dr Alias (kanan) pada sidang media selepas pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Cadangan Pembangunan Perumahan RMM Dan Bercampur Secara Penswastaan di Kerteh Jaya dan di Kampung Semayor, Kemaman di Wisma Darul Iman, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama syarikat swasta akan membina 1,716 unit kediaman termasuk rumah mampu milik (RMM) di Kemaman, yang djangka siap pada 2028.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, projek pembangunan bercampur itu akan dilaksanakan di dua kawasan iaitu di Bandar Kerteh Jaya dan Kampung Semayor dengan anggaran kos sebanyak RM468 juta.

“Projek secara hibrid ini melibatkan pembinaan rumah RMM jenis A sebanyak 356 unit, jenis B (547 unit) dan komersial (813 unit) di tapak seluas 85 hektar oleh Kumpulan Ireka Corporation Berhad sebagai pemaju.

"Projek pembinaan itu dilakukan dalam tiga fasa dengan berkonsepkan bandar pintar dan hijau pada tawaran harga bermula serendah RM80,000 sehingga RM650,000 seunit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Bagi Cadangan Pembangunan Perumahan RMM Dan Bercampur Secara Penswastaan Di Kerteh Jaya Dan Di Kampung Semayor, Kemaman di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Berhad, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail.

Dr Alias berkata, setakat ini kerajaan negeri telah membina sebanyak 18,619 rumah untuk membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

"Kita telah menyasarkan untuk membina 20,000 unit rumah menjelang tahun 2023 sebagai kemudahan kepada rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, lebih 1,000 permohonan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-Rahman) iaitu pinjaman membina atau membeli rumah tanpa faedah diterima pada tahun lepas.

“Sebanyak 330 permohonan telah diluluskan dan bagi tahun ini, permohonan sudah dibuka sehingga 28 Februari nanti dengan sasaran sebanyak RM30 juta,” katanya.