Kerajaan perlu pastikan dana SemarakNiaga capai kumpulan sasar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank, institusi kewangan pembangunan dan agensi berkaitan yang diamanahkan untuk mengagihkan RM40 bilion bagi meningkatkan akses pembiayaan untuk perniagaan tidak mengenakan syarat yang tidak wajar dan meletakkan halangan untuk dana mencapai kumpulan sasaran, kata ahli ekonomi.

Bagi mengelak perkara ini, Profesor Madya Baharom Abdul Hamid menggesa kerajaan untuk memantau pelaksanaan program SemarakNiaga Keluarga Malaysia supaya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

Baharom, seorang penganalisis ekonomi dengan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) berkata, bagi memastikan integriti dan ketelusan, apa sahaja laporan yang dibuat oleh entiti yang membuat pengagihan wang perlu didedahkan kepada umum.

"Kita tidak mahu sesuatu yang nampak baik di atas kertas atau sebagai pelan tindakan tetapi apabila ia melibatkan pelaksanaan, tiba-tiba menyedari hanya 20 peratus daripada dana diagihkan,” katanya.

Beliau merujuk kepada beberapa program pembiayaan, yang akhirnya hanya sejumlah kecil dana disalurkan dengan institusi yang membuat pengagihan itu memberi pelbagai alasan seperti pemohon tidak mempunyai rekod prestasi atau tidak layak untuk pinjaman ini.

"Ini merupakan tempoh yang sukar berikutan pandemik dan kerajaan perlu campur tangan untuk memastikan wang yang diperuntukkan diagihkan kepada kumpulan yang betul,” katanya pada program The Brief’ pada Selasa ketika mengulas pelan pembiayaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Program bernilai RM40 bilion itu, yang terdiri daripada pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti akan meningkatkan akses sektor perniagaan kepada pembiayaan, terutamanya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor tidak formal.

Entiti yang membuat pengagihan wang termasuklah Tekun Nasional, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Agrobank dan bank komersial, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), Permodalan Usahawan Nasional Bhd, SME Bank dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Artikel Berkaitan:

Baharom berkata, memandangkan Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas bahawa dana tersebut untuk manfaat setiap kumpulan usahawan, program bantuan mega seperti ini perlu disusuli dengan pelaksanaan yang kukuh dan bertanggungjawab.

"Integriti dan ketelusan peruntukan serta pengagihan adalah penting, selain pelaksanaan usaha ini secara berkala, menilai cabaran dan halangan (jika ada) serta usaha untuk menanganinya juga perlu dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.

Di bawah semangat Keluarga Malaysia, katanya kerajaan juga perlu memastikan keterangkuman, yang bermakna tiada siapa yang tercicir atau dipinggirkan termasuk mana-mana kumpulan kaum, segmen atau sektor.

Penekanan perlu diberikan kepada menyasarkan bantuan kepada kumpulan paling mudah terjejas dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, wilayah dan negeri, dan itu sebabnya "kita memerlukan laporan berkala dan telus mengenai sejauh mana jurang ini telah ditutup”.

"Bagi memastikan keterangkuman, kita tidak boleh mengikut penarafan dan kedudukan yang telah ketinggalan zaman dalam menentukan kelayakan untuk pinjaman dan kewangan ini sebaliknya perlu berpandangan ke hadapan.

"Hanya dengan itu, anda akan mendapat sokongan rakyat terhadap keikhlasan dan dedikasi penggubal dasar,” katanya.

Beliau berkata, program SemarakNiaga adalah campur tangan kerajaan yang tepat pada masanya dan menyeluruh dalam memperkasakan entiti perniagaan daripada PMKS hingga kepada syarikat besar untuk ekonomi meningkat semula berikutan ramai yang masih cuba untuk pulih.

Dalam situasi sukar itu, beliau memuji suntikan besar sebanyak RM40 bilion untuk sektor perniagaan, pinjaman kadar faedah sifar, skim mikro kredit, termasuk galakan kerajaan terhadap pendanaan awam rakan setara dan menggalakkan keusahawanan.

Berdasarkan penyelesaian pembiayaan yang pelbagai dan inovatif serta bantuan pembiayaan, Baharom percaya wang tersebut bukan sahaja akan memastikan kemampanan perniagaan tetapi meletakkan negara dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada tahun ini.

"Sebaik sahaja sektor perniagaan pulih, manfaat limpahan akan dinikmati oleh sektor lain dari segi penciptaan perniagaan, harga stabil, pekerjaan diwujudkan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata, program itu amat penting berikutan Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara jiran dan serantau. -Bernama