Aguero kembali bantu Argentina di Qatar 2022

Aguero - Foto AFP
Aguero - Foto AFP
A
A
A

BEKAS penyerang Argentina, Sergio Aguero mahu menjadi sebahagian daripada kakitangan skuad bola sepak La Albiceleste pada Piala Dunia Qatar 2022 selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), Claudio Tapia.

Aguero yang juga bekas tonggak Barcelona mencipta impak luar biasa bersama Manchester City berkata, butiran akhir mengenai perjanjiannya dengan AFA akan diputuskan dalam beberapa minggu lagi dan berharap dapat menghadiri undian terakhir Piala Dunia, yang dijadualkan berlangsung pada 1 April depan.

“AFA masih perlu memikirkan peranan itu, tetapi saya akan bersama pasukan Argentina di Piala Dunia. Ia adalah perbincangan yang baik dengan Chiqui (Tapia).

“Saya mahu meluangkan masa bersama para pemain Argentina. Saya akan berada di sana bersama pasukan, sebelum ini saya bergaul sangat baik dengan mereka.

“Namun kali ini saya mahu lebih dekat dengan mereka dan cuba memberikan keseronokan sepanjang pertandingan. Saya mahu mencari jalan untuk membantu pasukan kebangsaan Argentina mencipta kejayaan di Piala Dunia,” kata Aguero.

Pemain berusia 33 tahun sebelum ini mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada Disember akibat masalah jantung, melabuh tirai kerjaya sensasi selama 18 tahun apabila mencetak lebih 400 gol.

Untuk rekod, Aguero menjaringkan 41 gol dalam 101 perlawanan untuk Argentina, mewakili negara itu di tiga Piala Dunia dan membantu memenangi Copa America 2021 - gelaran utama pertama dalam 28 tahun.

Kuasa bola sepak Amerika Selatan kendalian Lionel Scaloniitu sebelum ini sudah pun layak ke Qatar, kini berada di tempat kedua dalam kumpulan kelayakan Amerika Selatan, empat mata di belakang Brazil.

Artikel Berkaitan: