KKM sedia laksana kajian kohort mangsa pencemaran

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia melaksanakan kajian kohort terhadap mangsa pencemaran sisa bahan kimia Sungai Kim Kim, Pasir Gudang bagi tujuan penyelidikan jangka panjang dan pemantauan.

Kajian kohort ialah kajian terhadap kumpulan orang yang berkongsi ciri-ciri yang serupa.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan mengambilkira aspek metodologi, protokol dan peruntukan kewangan.

“Fokus kita adalah mangsa. Pesakit yang terdedah kepada bahan kimia tidak tidak tertakluk kepada makmal anda mesti mengambil peluang untuk mengikuti dan melakukan kajian kohort.

“Kajian ini akan menjadi mudah sedikit memandangkan kesemua data mangsa terkandung dalam pangkalan data KKM. Apa yang perlu dipastikan adalah kesan jangka panjang terhadap mangsa, sama ada ia berisiko terdedah kepada kanser atau kepada sistem reproduktif. Kita tidak boleh lambat dalam menjalankan kajian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan ‘Sidang Kemuncak Transformasi Penjagaan Kesihatan ASEAN” di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas perkembangan terbaru mengenai mangsa pencemaran, Dr Dzulkefly berkata setakat 12 tengah malam (18 Mac), terdapat seramai 46 pesakit yang masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.

“Empat mangsa masih ditempatkan dalam wad Unit Rawatan Rapi, tanpa bantuan pernafasan, tidak diletakkan dalam inkubator, semuanya telah melepasi tahap kritikal dan mereka stabil. Syukur tiada kes kematian yang berlaku akibat pencemaran sisa kimia ini.

Artikel Berkaitan:

“Trendnya memang jelas, menurun dan kita harap tiada mangsa lain terdedah kepada sisa kimia,” katanya.

Dalam pada itu, sidang kemuncak kesihatan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan penyertaan lebih 300 pengamal kesihatan daripada hospital serantau ASEAN yang akan memfokuskan kepada revolusi kesihatan 4.0, rantaian pembekal kesihatan dan kesihatan digital.- Bernama