Kit ujian RTK Antigen penting, elak 'lockdown'

Tangkap layar ciapan Twitter Dimishtra Steven Sittampalam pada Selasa
Tangkap layar ciapan Twitter Dimishtra Steven Sittampalam pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Penggunaan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) adalah merupakan satu alat kesihatan awam yang sangat penting untuk mengimbangi risiko sambil mengelakkan pelaksanaan ‘lockdown’.

Penasihat Khas Menteri Kesihatan, Dimishtra Steven Sittampalam berkata, ujian kendiri RTK lebih pantas, murah, mudah digunakan dan tidak memerlukan peralatan yang sangat teknikal lebih-lebih lagi dengan varian yang merebak seperti Omicron.

Menurutnya, ia boleh digunakan di mana-mana sahaja dan sangat dipercayai untuk memberitahu anda jika dijangkiti atau tidak pada masa ini.

“Kenapa KKM menggalakkan ujian RTK Antigen walaupun ia tidak spesifik atau sesensitif ujian PCR?

“Keputusan ujian pantas boleh menggesa seseorang untuk mengasingkan diri jika dikesan positif beberapa hari lebih awal daripada sebaliknya.

“Ia juga mengurangkan kemungkinan orang lain mendapat jangkitan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ujian positif pada RTK Antigen itu akan menunjukkan bahawa anda berkemungkinan besar dijangkiti dan boleh mengurangkan risiko penularan dengan ketara apabila anda bertemu orang ramai.

Tambahnya, jika ujian tersebut negatif ketika itu, ia berkemungkinan keputusan tersebut negatif atau 100 peratus tidak berjangkit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dimishtra berkata, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Malaysia mempunyai keupayaan ujian untuk mengenal pasti dengan penyakit sebanyak 90 peratus.

Manakala, 95 peratus untuk mengenal pasti tanpa penyakit bagi semua kit ujian yang diterima oleh mereka.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memahami bahawa terdapat aduan mengenai beberapa kit ujian ujian menunjukkan keputusan yang boleh dipersoalkan.

“Khairy telah meminta MDA untuk memohon kepada pembekal untuk mendapatkan maklumat jaminan kualiti daripada kilang utama mereka.

“Menteri juga telah mengarahkan MDA untuk menjalankan penilaian ke atas kit ujian yang meragukan di pasaran untuk menentukan bahawa tiada penurunan kualiti dari masa ia diluluskan sehingga sekarang. Keputusan ini akan dimaklumkan kepada orang ramai tidak lama lagi,” ujarnya.

Jelas beliau, perkara yang penting adalah untuk sentiasa mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, jaga jarak fizikal, asingkan diri jika bergejala walaupun anda negatif pada ujian RTK Antigen.