Tubuh Yayasan Bumiputera AP bantu Melayu B40: Lip Eng

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan PH digesa menubuhkan Yayasan Bumiputera lesen import (AP) bagi membantu golongan Melayu B40 berbanding syarikat-syarikat yang sudah sedia ada kaya.

Cadangan ini dikemukakan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng agar Kerajaan PH tidak lagi memberi AP terbuka import kenderaan kepada syarikat-syarikat lagi, sebaliknya menubuhkan satu yayasan.

“Saya cadangkan yayasan itu dinamakan Yayasan Bumiputera AP import kereta, maksudnya semua AP diberikan kepada yayasan.

“Kemudian, hasil keuntungan yayasan yang jual kereta ini boleh dikongsi atau diberi kepada golongan Melayu B40,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Lip Eng mempersoalkan, tindakan kerajaan yang masih membantu syarikat-syarikat pengimport kereta yang sedia ada kaya.

“Mengapa kerajaan masih bantu syarikat pengimport yang sudah kaya ? Mereka sudah kaya namun masih dibantu kerajaan.

“Kerajaan sepatutnya membantu Melayu B40, bukan 40 Melayu terkaya, itu cadangan saya,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, selepas mengemukakan cadangan itu dalam sesi Dewan Rakyat,

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Ong Kian Ming memaklumkan, bahawa kerajaan akan menyiasat perkara tersebut, sama ada orang politik UMNO masih memegang AP, atau pemilik syarikat-syarikat pengimport kereta.

“Kita tunggu hasil siasatan lanjut daripada kementerian, saya yakin Yayasan Bumiputera AP Import Kereta ini akan dapat membantu Melayu memerlukan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengesahkan 36 syarikat baru milik Bumiputera dilantik sebagai pemegang AP dengan syarat ketat ditetapkan dalam dasar AP Terbukanya yang baharu.

Ini antaranya termasuklah, syarat pemilikan 100 peratus Bumiputera dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta, dan mempunyai pengalaman menjual serta mengedar kenderaan sekurang-kurangnya dua tahun.