Covid-19: Kluster pendidikan meningkat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kluster pendidikan Covid-19 dilihat meningkat dengan ketara pada minggu Minggu Epidemiologi (ME) terkini, dengan 92 kluster dilaporkan pada ME 7/2022, berbanding 61 kluster pada ME 6/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) mencatatkan 367 kluster pendidikan sejak 1 Januari hingga 19 Februari lepas, dan daripada jumlah itu 346 kluster masih aktif manakala 21 kluster telah tamat.

Beliau berkata, walaupun terdapat trend penurunan kluster pendidikan pada ME 5/2022 disebabkan cuti sambutan Tahun Baharu Cina, namun trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 berkadaran dengan peningkatan kes yang ketara di seluruh negara.

Katanya, negeri yang merekodkan kluster pendidikan paling tinggi ialah Kelantan (54 kluster), diikuti Selangor (49 kluster), Pahang (38 kluster), Kuala Lumpur (37 kluster), dan Sabah (34 kluster).

"Siasatan mendapati 328 kluster iaitu 89.4 peratus dengan kes indeks merupakan pelajar, manakala 31 kluster (8.5 peratus) merupakan kes indeks guru atau pensyarah.

"Selain itu enam kluster (1.6 peratus) dengan kes indeks daripada kalangan kakitangan sokongan pusat pendidikan berkenaan, dan dua kluster (0.6 peratus) dengan keluarga sebagai kes indeks,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, majoriti kes yang dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala.

"Sebanyak 12,579 kes (76.54 peratus) kategori dua, 3,850 kes (23.4 peratus) kategori satu dan 35 kes ( 0.2 peratus) dari kategori tiga dan empat dan kesemua kes telah mendapatkan rawatan serta dalam keadaan stabil.

"Kesemua 257 sekolah yang terlibat adalah daripada pelbagai agensi iaitu Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maahad Tahfiz dan lain-lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 19 Februari lepas, 232 kluster membabitkan sekolah menengah dan 25 kluster sekolah rendah masih aktif.

"Daripada jumlah tersebut 107 sekolah telah tutup sementara untuk pembersihan dan dijadikan tempat kuarantin, dan 150 sekolah hanya memerlukan penutupan kelas sahaja.

"Hasil siasatan mendapati punca utama berlakunya jangkitan dan penularan Covid-19 disebabkan beberapa faktor. Antaranya ketidakpatuhan pada SOP, pergerakan pelajar yang bebas dan pergaulan rapat semasa pelajar di asrama serta beberapa faktor lain,” katanya.

Beliau mencadangkan sebagai penambahbaikan, semua yang terlibat dalam kumpulan ini melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara berkala, mengenal pasti pelajar yang bergejala dengan cepat serta memastikan pengudaraan di semua kawasan berada dalam keadaan yang optimum.

Sementara itu, CPRC Kebangsaan melaporkan sejak 25 Januari 2020 hingga 19 Februari 2022 sebanyak 6,704 kluster dikesan, melibatkan 538,554 kes, dengan 6,212 kluster telah tamat dan hanya 492 kluster yang masih aktif.

Pecahan kes kluster tertinggi direkodkan di tempat kerja (58.71 peratus), komuniti (20.54 peratus), pusat tahanan (7.63 peratus), pendidikan (6.83 peratus), dan lain-lain.- Bernama