Sembilan ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian diberkas

Anggota polis menyoal siasat individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Anggota polis menyoal siasat individu yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak sempat beroperasi sepenuhnya di sebuah kondominium mewah di Jalan U-Thant di sini, selepas diserbu sepasukan anggota polis pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, ketika diserbu pihaknya mendapati sindiket berkenaan sedang menyediakan keperluan teknikal, pekerja dan peralatan untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.

"Kita menahan sembilan individu termasuk dua wanita warga China berusia 22 hingga 42 tahun dalam serbuan pada jam 4.30 petang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Mahidisham berkata, pihaknya merampas satu set komputer, 15 unit telefon pelbagai jenama, satu unit router dan satu modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan yang menyasarkan warga luar negara.

"Kesemua individu ditahan reman sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Mahidisham menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel Berkaitan: