Barangan kitar semula cecah 4.3 juta tan

Kesedaran masyarakat untuk kitar semula barangan masih tinggi walaupun negara berdepan pandemik Covid-19. Gambar hiasan.
Kesedaran masyarakat untuk kitar semula barangan masih tinggi walaupun negara berdepan pandemik Covid-19. Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar melalui kitar semula masih tinggi walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Rizalman Mokhtar berkata, kadar kitar semula kebangsaan pada tahun lepas meningkat kepada 31.52 peratus berbanding 30.67 peratus pada tahun 2020.

Menurutnya, jumlah barangan kitar semula pada tahun lalu mencecah 4.3 juta tan.

"Ini adalah kadar kitar semula kebangsaan. Data ini dilihat dari segi kesedaran masyarakat yang meningkat tahun lepas.

"Kadar itu juga selari dengan sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025," katanya pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra E-Idaman Sdn Bhd di sebuah hotel dekat sini pada malam Isnin.

Rizalman (dua dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada seorang pekerja syarikat E-Idaman Sdn Bhd yang menyertai usaha membantu membersihkan kawasan perumahan dan rumah mangsa-mangsa banjir di Selangor tahun lalu.
Rizalman (dua dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada seorang pekerja syarikat E-Idaman Sdn Bhd yang menyertai usaha membantu membersihkan kawasan perumahan dan rumah mangsa-mangsa banjir di Selangor tahun lalu.

Seramai 33 orang pekerja syarikat E-Idaman Sdn Bhd (EISB) menerima penghargaan dan ucapan tahniah pada majlis tersebut atas usaha membantu membersihkan kawasan perumahan dan rumah mangsa-mangsa banjir di Selangor tahun lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif EISB, Zaki Abdul Aziz Daud.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rizalman berkata, syarikat konsesi EISB perlu terus memberi kesedaran kepada masyarakat melalui pelbagai medium agar turut sama turun membantu kempen kitar semula.

Menurutnya, pusat pengumpulan barangan kitar dikendalikan oleh Green Resource Recovery Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat EISB mampu menjadi alternatif kepada masyarakat untuk melaksanakan amalan kitar semula.

"Dengan wujudnya pusat kitar semula pandu lalu di Kulim dan Kangar, Perlis juga mampu mengurangkan sisa yang dibawa atau dihantar ke tapak pelupusan sekali gus menurunkan janaan sisa buangan.

"Pusat kitar semula pandu lalu ini juga mampu mengurangkan masalah pembuangan sisa secara haram di kawasan setempat," katanya.