NS, Turki bakal jalin kerjasama bangunkan Lembah Aeroangkasa

Mohamad Rafie
Mohamad Rafie
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) dalam usaha pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (Malaysia Vision Valley – MVV 2.0), khususnya di Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, MOU itu dijadual berlangsung pada 28 Mac hingga 1 April ini.

"Ia adalah untuk penglibatan TAI dalam pembangunan di Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan seluas 6,474 hektar dan juga di 'Unmanned Vehicle Valley' (UVV) seluas 1,821 hektar di dalam kawasan MVV 2.0.

"Antara perkara yang dimeterai dalam MOU itu nanti mengenai pembangunan khususnya dalam bidang aeroangkasa, pembukaan sektor pengilangan aeroangkasa, latihan dan perpindahan teknologi kepada pekerja tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, delegasi kerajaan negeri yang diwakilinya ke Turki menerusi Misi Pelaburan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Turki di Ankara dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang beribu pejabat di Milan, Itali sejak 15 Februari lepas hingga Isnin.

Jelasnya, MOU ini antara lain meliputi penubuhan Institut Aeroangkasa di MVV 2.0 dengan kerjasama TAI sekali gus mengukuhkan hubungan Malaysia dan Turki.

“Kita telah melawat Turkish Aerospace Industries (TAI) di Ankara yang mana kita melihat MOU ini dapat memberi kelebihan kepada Negeri Sembilan daripada pelbagai sudut, antaranya kedudukan MVV 2.0 yang strategik dengan hubungan udara, laut dan darat yang baik kepada pelabur-pelabur di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menyediakan pelan induk pembangunan ekonomi yang komprehensif di Negeri Sembilan sehingga tahun 2045.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan yang dirangka adalah bersasar iaitu industri berteknologi tinggi dan teknologi hijau. Keseluruhan perancangan pembangunan tertumpu kepada lima parcel.

"Parcel A melibatkan tanah seluas 1,148 hektar yang akan dijadikan Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi (High Tech Industrial Park), parcel B, 3,559 hektar Wilayah Pintar (Smart County) merangkumi perumahan, komersial, Bandar Kesihatan (Medical City), institusi pendidikan dan Hab Halal.

"Parcel C seluas 6,474 hektar iaitu Lembah Aeroangkasa, parcel D seluas 2,428 hektar kawasan Maritim dan parcel E seluas 1,821 hektar kawasan 'Electric Vehicle City' (EVC) dan 'Unmanned Vehicle Valley' (UVV)," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, jumlah pelaburan tahun lalu masih belum diumumkan MIDA tetapi perkiraan menunjukkan mencapai melebihi RM5 bilion.

"Jumlah itu melepasi sasaran semula Kerajaan Negeri Sembilan manakala untuk tahun 2022, kita menyasarkan RM10 bilion," katanya.