Usah berlengah jika ada gejala

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Orang ramai diminta segera menjalani pemeriksaan sekiranya terdapat gejala keracunan kimia susulan insiden pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, ia sebagai langkah proaktif bagi mengesan awal sekiranya terdapat mangsa yang berada di Terengganu.

“Sekiranya ada gejala seperti demam, muntah, cirit birit dan sakit perut, segera buat pemeriksaan di klinik atau ke hospital.

“Kita perlu ambil tindakan awal, jangan tunggu lama kerana racun yang masuk ke dalam badan boleh rosakkan organ. Apabila sudah rosak, peluang untuk pulih seratus peratus agak sukar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Terengganu bersih daripada pencemaran sisa kimia dan pemeriksaan dilakukan secara berterusan.

“Setakat ini tiada aduan yang diterima atau pun yang ditemui oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pemantauan rapi dijalankan malah tiada. Kita belum ada aduan atau rekod mereka yang melanggar atau melakukan pembuangan sisa bahan kimia ini sewenang-wenangnya,” katanya.

Katanya, sebelum ini, seramai 29 penduduk yang tinggal di Pasir Gudang, Johor, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setelah mengalami pelbagai simptom akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan di Pasir Gudang ramai orang Terengganu, sebahagiannya bekerja di Singapura duduk di Pasir Gudang,” katanya.