X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

'Saya akan galas tanggungjawab sebaiknya' - Nik Muhammad Zawawi

Nik Muhammad Zawawi
A
A

SABAK BERNAM - Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkuat kuasa pada Ahad.

Nik Muhammad Zawawi berkata, perkara itu dipersetujui sebulat suara dalam satu mesyuarat MSU Pas pada hari sama.

Beliau yang menganggotai MSU sejak 15 tahun lalu berkata, tanggungjawab diamanahkan itu akan digalas dengan sebaiknya untuk bekerjasama dengan kepimpinan Pas.

"Saya mengakui dilantik semula oleh MSU yang merupakan badan terbesar dalam Pas.

"Saya akan bekerjasama dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta seluruh ahli parti agar ia berjalan mengikut perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan, di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, jawatan yang disandangnya itu membolehkannya menyatu padukan ahli parti dan masyarakat di negara ini.

"Kita hendak kejar jadi negara maju, tapi kalau berkelahi sesama sendiri ini tidak cerdik," jelasnya.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Mohd Khairuddin, Nik Muhammad Zawawi menyifatkan ia sebagai tindakan bermoral.

"Ini memberi petanda beliau tidak hadapi sebarang masalah kerana meletak jawatan secara terhormat," katanya.

Mengulas mengenai terdapat kemungkinan akar umbi yang inginkan Pas bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN) dan sebahagian lagi Perikatan Nasional (PN), Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, Pas merupakan parti yang mengikut apa jua arahan parti.

'Ini keputusan yang dibuat parti kalau parti buat keputusan 'A' maka A, apabila parti buat keputusan 'B' kita ikut B.

"Ini kelebihan Pas, contohnya kalau calon ditukar dalam Pas ia tidak menimbulkan masalah 100 peratus sebab kalau sebut manusia tetap ada tetapi insya-ALLAH dikawal dengan baik," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!