Maritim Malaysia tahan dua bot pukat kenka langgar syarat lesen

Dua bot pukat kenka yang ditahan Maritim Malaysia selepas didapati melanggar syarat sah lesen di Kuala Kurau. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Dua bot pukat kenka yang ditahan Maritim Malaysia selepas didapati melanggar syarat sah lesen di Kuala Kurau. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua bot pukat kenka selepas didapati melanggar syarat sah lesen di kedudukan 8.5 dan 8.7 batu nautika, barat daya muara Kuala Kurau di sini pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, kedua-dua bot yang dikendalikan tiga kru itu ditahan sekitar jam 1.50 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan aktiviti perikanan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot pertama dikendalikan dua kru termasuk tekong manakala bot kedua dikendalikan tekong sahaja. Kesemua mereka berusia 57 hingga 65 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua buah bot terbabit beroperasi secara bersama dan mempunyai lesen vesel yang sah namun, kesemua kru gagal membuktikan mereka adalah pemilik bot terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, kedua-dua bot bersama kru, peralatan menangkap ikan dan 300 kilogram ikan baja dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.

"Nelayan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama," katanya.

Artikel Berkaitan: