Panduan komprehensif dalam pilihan raya

Program Siri Wacana Institut Kajian Etnik (KITA) bertajuk Resensi Buku: ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’, yang bersiaran secara dalam talian, pada Selasa.
Program Siri Wacana Institut Kajian Etnik (KITA) bertajuk Resensi Buku: ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’, yang bersiaran secara dalam talian, pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Buku ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir’ merupakan satu panduan komprehensif yang mempunyai huraian lengkap mengenai proses pilihan raya, sekali gus membantu memenuhi prinsip sistem pilihan raya demokrasi.

Buku tersebut dihasilkan dengan gandingan pengalaman dua personaliti yang berkecimpung dalam pengurusan pilihan raya, iaitu bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan pengamal media, Dr G Manimaran.

Menurut Ab Rashid, buku tersebut bertujuan untuk menjelaskan proses dan undang-undang pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, dengan mengambil kira segala peraturan dan undang-undang sedia ada.

Ab Rashid
Ab Rashid

Tambah beliau, ia penting bagi memastikan demokrasi yang berlaku ketika ini khususnya pilihan raya menepati kehendak.

“Ini termasuklah satu pilihan raya yang bebas, adil dan telus. Tiga perkara ini selalu disebut, mksudnya pihak yang terlibat dalam pilihan raya perlulah mendapat hak yang sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siri Wacana Institut Kajian Etnik (KITA) bertajuk Resensi Buku: ‘Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang’, yang bersiaran secara dalam talian, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buku tersebut sangat penting untuk dijadikan panduan kerana negara tidak mempunyai institusi khusus yang melatih masyarakat dalam hal-hal demokrasi, hak asasi dan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, buku ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai landasan atau rujukan khusus terutama dalam bidang pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Manimaran berkata, pilihan raya merupakan satu proses yang dinamik kerana berlaku perubahan dari semasa ke semasa terutama daripada segi undang-undang dan mekanisme.

Dr G Manimaran
Dr G Manimaran

Menurutnya, terdapat tiga objektif utama dalam penghasilan buku tersebut, antaranya ialah menjadikan panduan bagi setiap pemegang taruh yang terlibat dalam proses pilihan raya, saluran untuk memahami tentang sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia secara holistik serta meningkatkan literasi pilihan raya dalam kalangan setiap pemegang taruh.

“Kita bukan hanya sediakan untuk parti-parti politik dan juga calon, tetapi untuk semua orang. Ini kerana ada antara mereka yang tidak tahu mengenai pilihan raya. Bagaimana nak mengundi, berkempen dan sebagainya.

“Buku ini juga menjelaskan apa itu hak dan tanggungjawab setiap calon. Apakah fungsi dan peranan tanggungjawab wakil rakyat selepas dipilih dalam pilihan raya. Ini semua akan dijelaskan dalam setiap bab yang diketengahkan di dalam buku tersebut,” katanya.