Ramai orang terpengaruh kempen elektronik

Shamsul Amri
Shamsul Amri
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen menggunakan saluran elektronik menyebabkan orang ramai terlibat dan terpengaruh hingga sanggup menukar kerajaan, kata Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Beliau yang merupakan Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, disebabkan itu pihaknya melihat kempen menggunakan saluran elektronik dilihat lebih berjaya berbanding jika undi secara elektronik diperkenalkan di negara ini.

Shamsul Amri berpendapat, sekiranya negara ini mahu mengubah kepada teknik pengundian secara elektronik dalam pilihan raya, ia tidak sukar untuk dilakukan.

"Saya rasa tidak susah untuk buat. Tetapi saya nak tengok dahulu kejayaan pembelajaran elektronik di Malaysia. Kalau sampai panjat pokok nak mengundi pilihan raya, susah juga.

"Harus jelas bahawa (adakah) kita mempunyai fasiliti yang secukupnya untuk membolehkan rakyat mendapat keadilan menggunakan kemudahan yang sama," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjadi pengulas buku bertajuk Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Tadbir dan Menang tulisan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Abd Rahman dan penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran yang disiarkan secara dalam talian menerusi Facebook KITA.

Turut menjadi pengulas buku tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh dan Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi UKM, Profesor Madya Dr Chang Peng Kee.

Shamsul Amri bagaimanapun menambah, pengubahan teknik pengundian dalam pilihan raya juga bergantung kepada parti politik yang berkuasa untuk menentukannya sama ada ia mahu dibincangkan di dalam Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Ini isu yang saya rasa isu perut politik masing-masing," sindirnya.

Beliau berkata, walaupun undi elektronik adalah satu perkara yang baik tetapi ia tidak akan berlaku di Malaysia.