Sila log masuk terlebih dahulu.

Tiada jaminan tuan rumah kekal

Windsor Paul
Windsor Paul
A
A
A

TIADA jaminan buat mana-mana negara yang memenangi bidaan sebagai tuan rumah Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 jika gagal menepati syarat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata, terdapat beberapa negara yang bertanding dalam aksi kelayakan itu bersedia menjadi hos sekiranya enam negara yang terpilih gagal menepati syarat ditetapkan.

Namun, Windsor memberitahu, beliau tetap percaya dengan kemampuan setiap negara terbabit untuk menjadi tuan rumah pusingan terakhir kempen kelayakan itu tanpa sebarang masalah.

“Kami telah menetapkan senarai keperluan yang perlu dipenuhi oleh setiap negara tuan rumah untuk menganjurkan Pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

“Antaranya mewujudkan gelembung sukan, penginapan hotel dengan penguatkuasaan yang ketat, jaminan pemain, pegawai dan pengadil tidak akan menjalani sebarang kuarantin serta kemudahan perubatan.

“Jika negara-negara berkenaan tidak dapat memberikan jaminan mengenai kriteria-kriteria tersebut, mereka tidak akan mendapat hak untuk menjadi hos.

“Apa pun kami tidak bimbang kemampuan mereka untuk jadi tuan rumah, namun kami hanya mahu memastikan kesemua negara itu dapat memberikan jaminan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada Khamis lalu, AFC mengumumkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Kelayakan Piala Asia 2023 selain India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, AFC turut menetapkan tiga tarikh perlawanan bagi aksi kelayakan tersebut iaitu pada 8, 11 dan 14 Jun depan.

Undian bagi kempen kelayakan itu akan akan berlangsung pada 24 Februari ini dengan Malaysia diletakkan dalam Balang 3 bersama Afghanistan, Yaman, Myanmar, Maldives dan Indonesia.

Balang 1 pula melibatkan Uzbekistan, Kyrgyzstan, India, Bahrain, Jordan dan Palestin manakala Thailand, Tajikistan, Filipina, Turkmenistan dan Hong Kong diletakkan dalam Balang 2.

Sebanyak 24 negara akan berentap untuk merebut 11 tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan pemenang enam kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mara.

Sebelum ini, 12 pasukan telah mengesahkan slot beraksi di pentas Piala Asia 2023 iaitu Vietnam, Syria, China, Australia, Iraq, Iran, Arab Saudi, Oman, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Lebanon.