Masalah kewangan Perak FC tanggungjawab IMC

SAARANI
SAARANI
A
A
A

SEGALA perbelanjaan, tunggakan bayaran atau gaji pemain Perak FC kini adalah di bawah tanggungjawab Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Kerajaan negeri tidak boleh biayai syarikat ini (IMC Sdn Bhd). Mana boleh guna duit kerajaan negeri untuk biaya perbelanjaan sesebuah syarikat.

“Malah, soal tunggakan gaji atau yang berkait, tidak boleh salahkan kerajaan negeri,” katanya bagi menjawab soalan pemberita adakah kerajaan negeri akan membantu pasukan bola sepak negeri itu dari segi kewangan.

Saarani berkata demikian selepas merasmikan Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Perak yang dilaksanakan oleh anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, Allo Technology Sdn Bhd di Ipoh pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah menghulurkan bantuan berjumlah kira-kira RM5 juta untuk membantu pasukan tersebut menyelesaikan isu kewangannya, namun kaedah tersebut tidak boleh dilaksanakan lagi kerana pihaknya juga perlu membantu memajukan sukan lain.

“Saya perlu adil kepada sukan lain, contohnya badminton atau hoki yang pernah menang Piala Tun Abdul Razak.

“Saya tahu sukan bola sepak ini ramai orang minat tapi kita kena guna duit rakyat sebaik mungkin, khasnya untuk pembangunan,” jelasnya.

Pada Disember lalu, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan IMC Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk bola sepak negeri itu dijual kepada syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu sidang media pada 13 Februari lalu, PAFA memaklumkan Perak FC akan berusaha menyelesaikan isu tunggakan hutang berjumlah RM1.7 juta yang melibatkan tuntutan gaji beberapa bekas pemain import serta pembayaran kepada ejen pemain selewat-lewatnya pada minggu hadapan. - Bernama