Presiden FAM santuni legenda bola sepak negara derita kanser

Hamidin menziarahi legenda bola sepak negara Syed Ahmad Abu Bakar dan isterinya Samihah Ghazali di kediaman mereka hari ini. - Foto Bernama
Hamidin menziarahi legenda bola sepak negara Syed Ahmad Abu Bakar dan isterinya Samihah Ghazali di kediaman mereka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini melawat bekas pemain kebangsaan era 70-an Syed Ahmad Syed Abu Bakar yang menderita kanser prostat tahap empat sejak lebih dua tahun lepas.

Hamidin berkata bekas penyerang berusia 76 tahun itu merupakan legenda bola sepak negara yang disegani dan pengorbanannya dikenang hingga ke hari ini.

"Ketika masih kecil, saya pernah menyaksikan corak permainan beliau di kaca televisyen, saya merasakan beliau antara legenda bola sepak negara ketika itu. Saya dan pihak FAM mendoakan beliau terus pulih dan kembali sihat seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan ke rumah Syed Ahmad di sini, pada Isnin.

Turut hadir dua Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Sivasundaram, Setiausaha Agung Mohd Saifuddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Zamri Ibrahim.

Sepanjang bergelar penyerang pasukan kebangsaan, Syed Ahmad pernah menjaringkan gol dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik di Seoul, Korea Selatan pada 1971, sekali gus menyaksikan Malaysia layak ke temasya Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata beliau sangat gembira menerima kunjungan daripada rombongan FAM.

"Saya berharap pemain bola sepak sekarang lebih bersemangat kerana kita bermain untuk satu pasukan dan bukan untuk satu nama,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: