Kelantan mahu jadi pencabar utama kejuaraan

Foto: TRW Kelantan FC
Foto: TRW Kelantan FC
A
A
A

KEJAYAAN muncul naib juara Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) meletakkan Kelantan FC berada pada landasan terbaik sebagai pencabar utama dalam saingan Liga Premier 2022 yang dijadual bermula Mac depan.

Ketua Jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya berkata, anak buahnya mampu memberi tentangan sengit sehingga berjaya menduduki tempat kedua biarpun berdepan tiga pasukan Liga Super pada kejohanan itu.

"Kejohanan itu sebahagian daripada persediaan untuk menguji kemampuan pemain apabila beraksi dalam saingan sebenar Liga Premier. Pemain saya mampu memberi cabaran kepada pasukan dari Liga Super seperti Kedah, Sabah dan Sarawak United.

"Mereka (pemain) menunjukkan semangat juang tinggi serta prestasi yang baik sehingga berjaya muncul naib juara Piala SMJ," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada saingan Piala SMJ yang berakhir Jumaat lepas, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) muncul juara selepas menduduki tangga teratas daripada empat pasukan yang bertanding.

KDA FC unggul di tempat pertama meskipun berkongsi enam mata dengan Kelantan FC di tempat kedua dan Sabah FC di tempat ketiga. Sementara, Sarawak United di tangga terbawah tanpa memungut sebarang mata.

Mengulas lanjut, Rezal Zambery berkata beliau amat yakin dengan peningkatan corak permainan diperagakan pemainnya ketika ini yang jelas menunjukkan kemampuan serta kesediaan mereka untuk berdepan pihak lawan.

"Menyertai saingan Piala SMJ adalah satu pengalaman sangat menarik khusus kepada pemain kerana mereka dapat memperbaiki segala teknik dan taktikal yang digunakan oleh pasukan lawan.

Artikel Berkaitan:

"Pastinya untuk berada di kedudukan lebih baik, kita perlu bekerja keras untuk melakar lebih banyak kemenangan dalam semua perlawanan," katanya. - Bernama