Tekoma kembali mekar di Seberang Perai

Pokok tekoma menghiasi jalan di Seberang Perai.
Pokok tekoma menghiasi jalan di Seberang Perai.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kira-kira 3,002 batang pokok tekoma atau nama saintifiknya tabebuia rosea yang ditanam sejak 27 Ogos 2017 di 13 kawasan di seluruh Seberang Perai kembali berbunga dan mekar ketika ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kawasan di sini mendapati bunga pokok tekoma mula luruh sekali gus mengubah pemandangan yang lebih ceria tidak ubah seperti suasana musim bunga sakura di Jepun.

Difahamkan fenomena itu hanya berlaku pada musim tertentu terutama pada musim kering dan kemarau.

Mengikut rekod Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), kesemua pokok tekoma ditanam secara serentak dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR).

Kini selepas lima tahun ditanam, pokok-pokok tekoma sudah mula mengeluarkan bunga hingga menarik perhatian ramai terutamanya peminat fotografi untuk merakamkan gambar kenangan ala-ala percutian di negara matahari terbit.

Memetik portal rasmi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), spesies tabebuia berasal dari Amerika Tengah dan benua Amerika Selatan.

Bagaimanapun, pokok tersebut juga dikenali sebagai pokok cherry blossom Pulau Pinang kerana bunganya yang sangat lebat seolah-olah bunga sakura Jepun yang mekar pada musim bunga.

Difahamkan, terdapat kira-kira 257 spesies bagi genus tabebuia di seluruh dunia dan hanya 73 nama spesies yang didaftarkan dan dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap Jabatan Landskap MBSP berkata, pokok tekoma sesuai dijadikan sebagai tanaman pinggiran jalan dan pokok hiasan taman.

Jelasnya, pohon hiasan itu ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan.

"Antara keistimewaan pokok ini ialah ia mempunyai aktiviti seperti antibakteria dan antimalaria, selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan perumahan.

"Pastinya selepas beberapa tahun ditanam ia bakal menceriakan pemandangan dengan variasi warna bunga yang dikeluarkan," katanya.