Jangan cetus api perkauman isu tiga beradik peluk Islam

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary meminta semua pihak agar tidak sesekali cuba memainkan api perkauman berhubung isu pengislaman tiga orang kanak-kanak di Perlis.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana pihak yang menukar agamanya kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang ditetapkan secara sah.

Beliau berkata, merujuk kepada isu yang berlaku di Perlis itu, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam selaras Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.

“Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.

“Dalam hal ini, kita menghormati syarat yang diputuskan oleh negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat diputuskan juga berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Isnin.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengesahkan tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun sah telah memeluk Islam.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak tersebut Loh Siew Hong dilaporkan telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan suaminya, Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini turut melaporkan, Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy meminta polis untuk menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu.

Ramasamy menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya meniup api perselisihan sehingga boleh mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini

“Dalam hal ini, saya menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai.

“Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya,” ujarnya.