Pertahankan Muafakat Nasional selagi tiada arahan rasmi

Portal yang mendakwa perpecahan MN Pahang susulan kenyataan Rosli pada 16 Februari lalu. (Rosli)
Portal yang mendakwa perpecahan MN Pahang susulan kenyataan Rosli pada 16 Februari lalu. (Rosli)
A
A
A

KUANTAN- Pas Pahang masih tetap mempertahankan hubungan dengan UMNO menerusi kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, hubungan itu diteruskan selagi Pas negeri tidak menerima arahan atau keputusan rasmi dari pusat.

Justeru, kenyataan beliau sebelum ini berhubung kesediaan Pas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura adalah merujuk kepada beberapa senario kemungkinan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kesediaan Pas menghadapinya.

"Setakat ini tidak ada lagi arahan supaya kami bubarkan MN daripada Pas Pusat dan kalau ditakdirkan kekal (MN) di Pahang, takkan pula kami nak lawan di kerusi yang UMNO menang.

“Tapi, kita kena juga bercakap kalau tidak berlaku (kerjasama), takkanlah kita tidak buat persediaan, kalau tak berlaku (MN), kita kena lawan UMNO, takkan kita hendak bagi UMNO saja bertanding, itu mustahil, jadi kita kena lihat dua tiga senario dalam hal ini,” katanya ketika ditemui di Peramu pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa perpecahan dalam MN Pahang susulan kenyataannya berhubung kesediaan Pas memenangi kerusi DUN Inderapura yang ketika ini disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO, Datuk Shafik Fauzan Sharif dalam satu majlis pelancaran jentera Pas pada 16 Februari lalu.

Mengulas mengenai isu itu, Rosli berkata, setakat ini, belum ada sebarang komen daripada pimpinan UMNO Pahang, kecuali kenyataan dari pihak yang disifatkannya sebagai ‘suara luar’.

“Cuma kita dengarlah daripada ‘suara-suara luar’ itu ada, pemimpin (UMNO) di peringkat pertengahan tapi kita tidak mahu layan. Pada saya, kenyataan rasmi mesti dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi (Pengerusi UMNO Pahang), kalau setakat ketua bahagian, kita tidak akan layan.

Artikel Berkaitan:

“Bila keluar berita dalam (laman web) Harakah, MB (Wan Rosdy Wan Ismail) pun melompatlah, dakwat belum kering tapi dalam cerita (berita) itu tidak sebut pun kita nak lawan (bertanding) di DUN Inderapura,” katanya lagi.

Merujuk apakah maksud beberapa senario itu, Rosli menjelaskan apa yang dimaksudkannya ialah gambaran kepada beberapa situasi berhubung kerjasama Pas dan UMNO dalam MN.

Jelasnya, ia turut merujuk kepada, situasi Pas bergerak solo atau Pas bersama Bersatu di dalam Perikatan Nasional pada PRU15.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, sehingga kini Pas masih berpendirian bahawa MN perlu menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ia adalah penegasan Pas sejak dari awal.

Tegasnya, matlamat penyatuan bukan semata-mata antara Pas dan UMNO, sebaliknya dengan semua parti dengan mengambil kira komposisi kaum di Malaysia

Dalam PRU14, UMNO Pahang menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang, manakala satu lagi kerusi Barisan Nasional (BN) diperoleh melalui calon MCA.

Pas pula memenangi lapan kerusi DUN iaitu Tanjung Lumpur, Beserah, Chenor, Luit, Jengka, Tahan, Panching dan Damak.

Baki sembilan lagi kerusi DUN Pahang dimenangi ADUN dari Pakatan Harapan (PH).