Lelaki tampar isteri, ugut mentua direman

Suspek berusia 30 tahun diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas direman kerana dipercayai menampar isteri dan mengugut ibu mentuanya dengan mengacukan pisau di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman selepas dipercayai menampar isteri dan mengugut ibu mentuanya dengan mengacukan pisau di rumah mentua di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki berusia 30 tahun itu selama empat hari bermula hari ini.

Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Suspek ditahan ketika sedang bersembunyi di bawah katil di dalam sebuah bilik di rumah di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, awal pagi tadi sempena 'Ops Cantas'.

Semalam, kira-kira jam 12.30 tengah hari, suspek bersama isterinya, 24, dalam perjalanan dari rumah mentua di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, ke Pejabat Agama Kuala Terengganu dengan menaiki kereta.

Menurut sumber, bagaimanapun, semasa tiba di hadapan sebuah stesen minyak di Batu Rakit, Kuala Nerus, berlaku perselisihan faham di antara pasangan itu sebelum suspek bertindak menampar pipi mangsa yang ketika itu sedang meriba anak mereka.

"Suspek yang gagal mengawal emosinya bertindak menampar pipi isterinya itu sekuat hati sehingga bibirnya pecah dan berdarah," katanya.

Jelas sumber, mereka kemudiannya pulang ke rumah dan perkara itu dapat dihidu ibu mentuanya yang tidak berpuas hati dengan tindakan kasar terhadap anak perempuannya itu.

"Ibu mentuanya memberi amaran agar jangan memukul lagi anaknya. Namun suspek terus marah dan bertindak mengambil pisau serta mengacukan kepada mentuanya," kata sumber.

Isteri suspek yang bimbang akan keselamatan diri serta kedua orang tuanya kemudiannya bertindak membuat laporan polis.