AirAsia mula laluan baharu dari Melaka ke Pulau Pinang

No Image Caption
A
A
A

MELAKA TENGAH - Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Berhad (AirAsia) dijangka memulakan laluan baharu ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini, 1 Julai ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, AirAsia menghubungi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menyatakan hasrat untuk memulakan operasi di LTAM ke destinasi tersebut.

“AirAsia turut menyatakan hasrat untuk memulakan laluan baharu yang lain dari LTAM iaitu ke Kota Kinabalu, Langkawi dan Pekan Baru (selewat-lewatnya hujung tahun ini).

“Ini memberi petunjuk bahawa LTAM sudah semakin maju dan dengan adanya laluan baharu ini, ia dapat membantu pertumbuhan sektor pelancongan di Melaka,” katanya pada sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) yang ingin tahu jumlah pengguna, destinasi baharu dan keselamatan infrastruktur di LTAM.

Mohd Sofi (Amanah-Durian Tunggal) berkata, seramai 55,243 orang menggunakan perkhidmatan LTAM sepanjang Januari tahun lepas hingga Januari tahun ini.

“Bagi 2019, kerajaan negeri menyasarkan seramai 75,000 orang menggunakan LTAM susulan pelbagai laluan baharu dibuka melalui operator penerbangan Malindo Air dan AirAsia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: