Jumlah kanak-kanak terima vaksin di Kelantan masih rendah

Jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan masih rendah dengan angka hanya 11,017 sehingga Isnin.(Gambar hiasan) - Foto 123rf, gambar kecil: Dr Zaini
Jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan masih rendah dengan angka hanya 11,017 sehingga Isnin.(Gambar hiasan) - Foto 123rf, gambar kecil: Dr Zaini
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini masih rendah dengan angka hanya 11,017 sehingga Isnin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh 10 hari pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini yang bermula pada 13 Februari lalu.

Katanya, jumlah pemberian vaksin dalam kalangan golongan itu sangat rendah berbanding jumlah keseluruhan 168,023 kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut yang layak diberi vaksin jenis Pfizer.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, 114,685 adalah murid tahun satu hingga lima yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

“Sikap ibu bapa yang tunggu dan lihat selain bimbang kesan sampingan vaksin antara penyebab mereka belum membawa anak-anak untuk divaksin sedangkan aduan diterima hanya sakit pada bahu tempat cucuk atau kemerahan sahaja berbanding kesan lebih teruk sekirannya dijangkiti Covid-19,” katanya ketika dihubungi media pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi anak-anak daripada dijangkiti virus Covid-19 dan membawa mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin di 400 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di klinik-klinik kesihatan dan sekolah-sekolah rendah.

“JKNK menyarankan ibu bapa supaya membenarkan anak masing-masing mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan Covid-19 pada tahap yang lebih serius.

“Pengambilan suntikan vaksin jenis Pfizer terhadap kanak-kanak ini boleh dilakukan secara walk in di PPV klinik kesihatan atau janji temu melalui sekolah masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pada hari pertama PICKids dilancarkan di Kelantan hanya 5,000 borang diterima daripada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19.