Warga emas berhak pada penjagaan, perkhidmatan berkualiti tinggi

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga tua negara ini berhak pada penjagaan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi sebagaimana tenaga kerja dalam penjagaan golongan itu adalah elemen penting bagi penyediaan perkhidmatan berkualiti kepada mereka, kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata, Malaysia masih dalam persediaan ke arah menjadi ‘negara tua’ iaitu bukan satu tugas yang mudah namun perlu dilaksanakan bagi memastikan golongan itu tidak menderita.

"Jururawat dan penjaga adalah elemen penting (dalam penjagaan warga emas) namun imej stereotaip seorang jururawat atau penjaga membantu seorang warga emas dalam satu fasiliti penempatan, hanyalah gambaran kecil daripada keseluruhan situasi,” katanya menerusi perkongsian dalam talian untuk Perbincangan Meja Bulat Seterra Mengenai Deklarasi Damansara pada Isnin.

Ras Adiba, yang juga presiden OKU Sentral, turut menggariskan lapan cadangan bagi menjamin masyarakat dan ekosistem warga tua yang inklusif di Malaysia iaitu antaranya memastikan sistem pencen yang berkesan dan cekap untuk warga emas serta menggalakkan peluang pekerjaan serta keusahawanan dalam kalangan komuniti itu.

Selain itu beliau turut menyarankan supaya peranan warga emas dalam ekonomi sosial diperhebat bagi membangunkan peluang perniagaan, pekerjaan dan perkhidmatan membabitkan kumpulan itu, selain membangunkan peluang untuk pembelajaran dan kemahiran sepanjang hayat dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Turut dicadangkan ialah peranan Pembaharuan Kejiranan dalam menangani keperluan spesifik warga tua dalam kawasan yang mempunyai kurang kemudahan serta menggalakkan program pembangunan luar bandar yang menyasarkan pada keperluan penduduk warga tua emas yang tinggal dalam pengasingan secara fizikal dan sosial.

Selain itu, perkhidmatan kesihatan dan sosial untuk orang tua haruslah dipastikan menyeluruh dan bersepadu di samping mewujudkan persekitaran yang selamat bagi mereka.

Deklarasi Damansara tersebut meliputi lima input iaitu Malaysia akan menjadi hab Penjagaan Warga Tua Islamik menjelang 2040; semua rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan warga tua yang berkualiti; pembinaan kemudahan pusat jagaan warga emas Islamik di seluruh negara untuk semua lapisan populasi Malaysia; menghasilkan penjaga terlatih berkemahiran tinggi dalam modul Islamik dan penubuhan suatu majlis berkaitan penjagaan warga tua yang disertai negara-negara Islam. - Bernama

Artikel Berkaitan: